NEGARA kita dikejutkan lagi dengan insiden pembuangan sisa toksik yang telah dilepaskan di aliran sungai Kim Kim dan di beberapa lokasi di Pasir Gudang yang mana telah memberi impak yang signifikan dalam kalangan komuniti di Pasir Gudang. Insiden yang mulanya dianggap sebagai kes pembuangan sisa industri dan pencemaran air yang biasa berlaku, kini melarat hingga ke masalah pencemaran udara yang serius hingga mengakibatkan 111 sekolah dan 92 tadika dan taska ditutup. 12 individu dimasukkan di ICU dari jumlah keseluruhan 5848 yang menerima rawatan serta mengalami kejejasan kesihatan terutamanya pada sistem respiratori akibat dari terhidu udara yang mengandungi bahan kimia toksik dan bahan neurotoksin yang bukan lagi rahsia malah menjadi sebutan kepada masyarakat umum seperti sebatian organik mudah yang mudah meruap, (VOC), acrylonitrile dan acrolein Bagaimana bahan-bahan sisa industri yang memerlukan pengurusan yang khusus boleh tersebar secara meluas di udara dalam lingkungan komuniti yang majoritinya terdiri dari mereka yang rentan seperti kanak-kanak, warga tua dan ibu mengandung?

Kejadian yang berlaku ini amat jelas dengan apa yang dinyatakan dalam Surah Ar Rum: Ayat 41 yang bermaksud: “Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia. Allah menghendaki agar mereka merasakan sebahagian akibat perbuatan mereka, agar mereka kembali ke jalan yang benar.”

Sebagai khalifah di bumi Allah, kita patut memainkan peranan yang besar dalam melestarikan alam sekitar, bumi Allah yang dipinjamkan kepada umatnya yang telah dipertanggungjawabkan kepada kita namun apa yang terjadi sebaliknya? Mana hilangnya nilai Etika kemanusian, integriti dan Ihsan manusia? Orang yang ihsan tidak pernah mengambil hak orang lain. Ia bahkan masih menyisakan haknya demi kemaslahatan orang lain.

Mengapa hak komuniti di Pasir Gudang untuk mendapat nikmat udara yang bersih demi kesejahteraan hidup diabaikan dengan sikap rakus manusia? Apakah hukuman yang sewajarnya patut diberi terhadap pesalah dari industri yang menjalankan aktiviti ini secara haram? Adakah cukup sekadar denda maksimum sebanyak 500 ribu ringgit dan denda 5 tahun penjara? Bilakah pelakunya dan hak komuniti di pasir Gudang boleh diadili?

Komunikasi Risiko Berkesan Diperlukan

Komuniti di Pasir Gudang ini pada awalnya telah diberi amaran tentang keracunan metana, namun melalui hasil siasatan Jawatankuasa Pengurusan Bencana serta dapatan analisis pencemar yang dijalankan oleh Jabatan Kimia, Jabatan Alam Sekitar serta agensi terbabit telah menemui beberapa gas toksik lain pada 14 Mac lalu, seperti Hydrogen Chloride, Acrylonitrile, Adrich Toulene, Ethyl Benzene, Acrolein dan Xylene sehinggalah ke penemuan, Hydrogen Cyanide. Mengapa terdapat begitu luas percanggahan fakta yang berlaku? Begitu juga tentang pelaporan impak kesihatan akut dan kronik dan risikonya terhadap komuniti yang terdedah berbagai kenyataan bercanggah dilaporkan yang mana boleh menimbulkan kekeliruan awam. Masyarakat kini lebih bijak dan peka serta lebih senang mempercayai maklumat dari media sosial dan sumber-sumber rujukan luar berbanding media rasmi. Harapan kita agar ketepatan laporan dan maklumat yang jelas dapat dipertingkatkan lagi dari masa ke semasa dan pelaporan perlu dilakukan oleh mereka yang benar-benar arif dalam bidang kepakaran terbabit agar tidak berlaku masalah bias informasi, serta ketidaktepatan penyampaian maklumat awam demi menjaga kredibiliti pihak yang berkepentingan dan bertanggungjawab menangani isu ini.

Kepentingan Kesihatan Persekitaran

Sekadar berkongsi pengalaman sebagai pegawai akademik dan pengamal bidang Kesihatan Persekitaran atau Environmental Health (EH) yang telah berkecimpung dalam dunia pengajaran dan penyelidikan sejak 20 tahun lalu dan sering memfokuskan kajian terhadap isu pencemaran udara akibat fenomena Jerebu sejak tahun 1994, isu pencemaran trafik, industri sehinggalah ke masalah pencemaran udara dalaman sekolah dan persekitaran rumah. Selain terlibat secara langsung sebagai Timbalan Pengerusi Persidangan bersama MyCAS (Malaysia Clean Air Forum Clean Air Society) iaitu Pertubuhan Udara Bersih di Malaysia bersama Clean Air Asia (CAA) di mana Negara Malaysia telah berjaya terpilih dan menganjurkan persidangan terbesar di Asia atau Better Air Quality 2018 (BAQ 2018) yang mana telah mendapat pengiktirafan di peringkat dunia. Timbul kekecewaan dan sangat terkesan dengan peristiwa yang berlaku di Sungai Kim Kim ini. Mengapakah kejadian seperti ini masih berlaku di Malaysia di tahun 2019? Jika difikirkan semula ya, sedangkan masalah sampah dan sisa pepejal dan plastik juga masih menjadi topik perdebatan apatah lagi lagi isu merokok di lingkungan persekitaran komuniti. Masih ramai lagi masyarakat yang tidak faham? Di mana silapnya kita?

Penerapan Ilmu dari bidang Kesihatan Persekitaran amat penting dalam kontak budaya masyarakat di Malaysia sebagai kaedah pencegahan dan penyelesaian isu ini dan ianya perlu diterap dan difahami, dihayati serta dipraktikkan sejak usia muda dalam konteks pengajaran formal kurikulum di sekolah Ramai orang sering berfikir kesihatan Persekitaran ini hanyalah dari segi keperluan bagi mendapatkan udara, air dan makanan yang bersih , tetapi daya alam semulajadi termasuk perkara-perkara seperti pemanasan global juga merupakan elemen yang penting dalam Kesihatan Persekitaran.

Kesihatan Persekitaran adalah suatu cabang ilmu dalam bidang kesihatan awam yang mengetengahkan konsep kesedaran dan pengetahuan berkenaan aspek alam semula jadi, persekitaran terbina yang mempunyai hubungkait dengan kesihatan manusia sejagat dengan memantau dan menangani faktor-faktor fizikal, kimia, biologi psikologi dan psikososial yang kita mungkin tidak mempunyai kawalan langsung, tetapi ia boleh memberi kesan yang signifikan kepada kesihatan dan kesejahteraan kita. Segala aspek tubuh manusia termasuk kesihatan dan penyakit manusia mempunyai kaitan dengan faktor dalam alam sekitar. Ia juga merujuk kepada teori dan amalan berterusan menilai dan mengawal faktor dalam persekitaran yang boleh memberi kesan kepada kesihatan masa kini dan masa hadapan.

Kesihatan persekitaran merujuk kepada World Health Organization (WHO), termasuklah kedua-dua kesan langsung patologi kimia, fizikal, radiasi dan beberapa agen biologi, dan kesan secara langsung dan tidak langsung kepada kesihatan dan kesejahteraan. Ia juga meliputi kesan terhadap persekitaran fizikal, sosial dan estetika termasuklah perumahan, pembangunan kawasan bandar, tanah dan pengangkutan. Sebagai contoh, jika komuniti kanak-kanak dan warga emas tinggal di kawasan yang tinggi kepadatan trafik, berdekatan industri, pembinaan serta perlombongan maka keadaan persekitaran itu tidak lagi sesuai dan boleh memberi impak yang signifikan kepada kesihatan mereka. Begitu juga dengan apa bahan binaan rumah yang kita gunakan, apa serangga dan mikroorganisma yang berada berdekatan, atau jenis makanan yang kita ambil sebenarnya ia boleh memberi kesan kepada kesihatan individu dan kesihatan keluarga anda.

Ringkasnya, EH adalah bidang kesihatan awam yang menangani pelbagai faktor di sekeliling kita yang dapat memberi kesan kepada kesejahteraan fizikal dan mental kita. Sudah sampai masanya untuk negara kita mempunyai sistem data asas Kesihatan Persekitaran (EH data base) komuniti yang lengkap juga kohort yang terdedah kepada agen persekitaran agar kaedah epidemiologi persekitaran, teknik penilaian pemodelan serta peramalan risiko pendedahan dan impaknya terhadap kesihatan boleh dinilai dalam jangkamasa singkat dan panjang. Sebagai contoh penggunaan data komuniti Pasir Gudang yang terdedah diguna pakai dalam penilaian pendedahan berasaskan kaedah yang saintik, sistematik yang terancang dan menyeluruh. Selain dari menjalankan kajian epidemiologi berbentuk keratan rentas (cross sectional) kajian kes kawalan (case control) Kajian berbentuk Kohort retrospektif dan prospektif juga perlu dilaksanakan dalam kalangan komuniti terbabit agar kita dapat mengenalpasti hazad atau pembahayaan di persekitaran komuniti berisiko agar langkah pencegahan dapat dikenal pasti di peringkat awal sebelum isu ini menjadi lebih serius.

Berkongsi pengalaman bersama team MyCAS semasa berada di Pusat Gerakan Pengurusan Bantuan Bencana dan melihat sendiri aktiviti yang berlaku di Pusat Rawatan Awal (Medic Base) di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) bersama petugas yang melibatkan diri dalam aktiviti penyaringan dan rawatan perubatan kesihatan dilakukan, saya ingin memuji komitmen tinggi yang telah diberikan oleh semua agensi kerajaan, swasta dan agensi luar serta NGO yang bertungkus lumus melakukan pemantauan, pengurusan dan penilaian kes ini bagi menangani serta membantu komuniti terbabit. Namun begitu terdapat beberapa cadangan khusus yang boleh yang digunapakai supaya sistem pengurusan ini boleh ditambah baik agar lebih secara cekap, sistematik dan berkesan untuk pelan mitigasi komuniti jangka panjang.


* Prof Madya Dr Juliana Jalaludin ialah Ketua Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Timbalan Presiden Pertubuhan Forum Udara Bersih Malaysia (MyCAS)

** Pandangan yang diutarakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak berkaitan dengan Astro AWANI