Perhilitan Perak telah menghalau antara 25 hingga 30 ekor gajah menggunakan kaedah tembak dan halau di tempat kejadian.
Bernama
Thu Oct 24 2024
Perhilitan Perak mengesahkan menerima laporan beberapa kenderaan rosak akibat diserang sekumpulan gajah liar berhampiran Tugu Peringatan Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, semalam.
IPOH: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak mengesahkan menerima laporan beberapa kenderaan rosak akibat diserang sekumpulan gajah liar berhampiran Tugu Peringatan Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, semalam.
Pengarahnya, Yusoff Shariff berkata, aduan mengenai kejadian itu diterima kira-kira 10 malam tadi dan lapan kakitangan Perhilitan telah digerakkan ke lokasi kejadian.
"Kakitangan Perhilitan telah menghalau kesemua gajah dengan menggunakan kaedah tembak dan halau.
"Dianggarkan kira-kira 25 hingga 30 ekor gajah berada di tempat kejadian ketika itu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Semalam, media melaporkan sekurang-kurangnya lima buah kenderaan rosak akibat diserang sekumpulan gajah liar dalam kejadian kira-kira 9 malam.
Bagaimanapun, kejadian itu tidak membabitkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa. - BERNAMA