MRL dalam kenyataannya pada Jumaat memberitahu ia ekoran kepada beberapa hantaran yang tular di media sosial yang menunjukkan dua gajah sedang menolak struktur pagar yang telah dipasang di jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
"Pihak kami ingin memaklumkan bahawa video yang tular tersebut adalah sebahagian daripada proses ujian ketahanan bagi reka bentuk pagar haiwan liar yang telah dijalankan di kawasan yang dikenal pasti sebagai habitat gajah di daerah Temerloh, Pahang.
"Jajaran ECRL di Hutan Simpan Kemasul, Temerloh, Pahang merentasi beberapa ladang pertanian dan kawasan pinggiran Hutan Simpan Kemasul yang menjadi habitat kumpulan gajah.
"Setelah beberapa sesi perbincangan bersama Perhilitan, pagar halangan fizikal gajah perlu dibina di kedua-dua belah landasan ECRL sepanjang Hutan Simpan Kemasul.
Ujarnya, ia bagi mengelak konflik manusia-gajah di kawasan tersebut terutamanya semasa dan selepas projek ini disiapkan.
Kenyataan itu juga menjelaskan ia juga merupakan salah satu kawalan mitigasi bagi menghalang kemasukan gajah ke kawasan landasan kereta api ECRL yang boleh menyebabkan kemalangan.
"Justeru, pihak Perhilitan telah mengesyorkan agar mock-up reka bentuk pagar halangan fizikal dibina di lokasi sebenar bagi menguji ketahanan dan keberkesanan pagar sebelum sebarang keputusan reka bentuk dimuktamadkan.
"Lanjutan daripada itu, perbincangan susulan atau post-mortem antara pihak ECRL dan Perhilitan akan dibuat dalam masa terdekat untuk tindakan seterusnya," jelasnya.
Dalam pada itu, MRL juga menjelaskan satu perjanjian tambahan pelaksanaan Pelan Pengurusan Hidupan Liar bagi Projek ECRL telah dimeterai antara kontraktor utama projek iaitu China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd dan pihak Perhilitan pada 2022 bagi menambah baik kerja-kerja pemuliharaan dan mitigasi hidupan liar di sepanjang jajaran 665 kilometer (km).
Katanya, ia bertujuan mengurangkan kesan alam sekitar daripada proses pembinaan ke atas hutan semula jadi, sungai dan sumber air.
Ujarnya, reka bentuk jajaran ECRL turut merangkumi pembinaan 41 terowong, kira-kira 145km laluan bertingkat atau jejambat serta 28 lintasan hidupan liar di lokasi-lokasi strategik.
MRL adalah pemilik Projek ECRL yang merupakan infrastruktur rel nasional yang bakal merentasi negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang serta Lembah Klang. - Sinar Harian