KUALA LUMPUR:Kerajaan bersetuju membenarkan kemasukan pelajar antarabangsa dari semua negara kecuali United Kingdom (UK) berkuat kuasa bermula 1 Januari ini, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau memaklumkan, kemasukan pelajar itu termasuk bagi sesi pengajian di universiti swasta dan awam selain pelajar bersama pengiring bagi sesi pembelajaran di sekolah antarabangsa.

Katanya, kerajaan tidak membenarkan kemasukan pelajar dari UK selepas mengambil kira perkembangan serta situasi semasa penularan COVID-19 di negara berkenaan.

"Pelajar-pelajar yang terlibat adalah pelajar lama dan pelajar baharu yang mendapat tawaran dari universiti-universiti swasta dan awam.

"Selain itu, kebenaran ini diberikan kepada mereka yang telah mempunyai penginapan tetap di negara ini," katanya pada sidang media khas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Selasa.


BACA: Lima tumpuan sidang media Ismail Sabri, 22 Disember 2020

Dalam sidang media itu juga beliau menegaskan kerajaan memandang serius dan tidak akan bertoleransi terhadap penyebar berita palsu berkaitan COVID-19 sehingga menimbulkan panik dan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Beliau menjelaskan sehingga 22 Disember 2020, sebanyak 274 kertas siasatan telah dibuka oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung berita palsu berkaitan COVID19.

"Sehingga 22 Disember 2020, sebanyak 274 kertas siasatan telah dibuka oleh PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung berita palsu berkaitan COVID19.

"Daripada jumlah ini, sebanyak 137 kes masih dalam siasatan, 35 kes telah didakwa di mahkamah, 12 kes diberi notis amaran manakala 90 kes lagi diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut.

"Bagi kes yang telah didakwa di mahkamah, sehingga kini 21 telah didapati bersalah manakala 13 lagi dalam proses perbicaraan," katanya lagi.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati sebelum menyebarkan sebarang kandungan yang diragui kesahihannya.