PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju meningkatkan kelayakan masuk minimum ke dalam perkhidmatan awam kepada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini bagi mengoptima sumber dan peningkatan produktiviti.

"Seiring dengan peningkatan syarat lantikan ini, beban dan kompleksiti tugas sedia ada akan ditambah dan ditingkatkan.

"Perkara ini akan menggalakkan penugasan berbilang (multitasking) dan kemahiran berbilang (multiskilling) dalam kalangan pegawai sebagai pulangan kepada kerajaan, penggunaan sumber manusia perkhidmatan awam dapat dioptimakan," katanya pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Kali Ke-19 (MAPPA XIX) 2024, di sini, hari ini.

SKIM PERKHIDMATAN TIDAK RELEVAN, BERTINDIH, TERPENCIL DIPINDAHKAN KE SKIM LAIN

Selain itu, Anwar berkata, skim perkhidmatan yang mempunyai fungsi perkhidmatan tidak relevan, bertindih dan terpencil akan dipindahkan kepada skim perkhidmatan lain.

"Ia akan memberikan laluan kerjaya lebih baik serta mobiliti yang lebih luas kepada penyandang, contohnya skim pemandu lokomotif, pengurus asrama, operator wayarles dan jurusolek.

"Dalam pada itu, kerajaan juga menyeragam dan mengkelaskan semula gred jawatan secara menyeluruh berdasarkan keperluan semasa perkhidmatan awam.

"Ini dengan meminda syarat lantikan bagi 17 skim perkhidmatan bagi memperoleh bakat terbaik berkhidmat di dalam perkhidmatan awam selari evolusi teknologi dan dasar pendidikan semasa," katanya.

JPA AUDIT PENJAWATAN

Anwar juga mahu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melakukan audit perjawatan yang menyeluruh bagi mengenal pasti ketidakseimbangan perjawatan yang mungkin berlaku di seluruh kementerian dan agensi.

"JPA juga perlu mengambil tindakan penyelarasan selanjutnya untuk memastikan beban tugas yang ditanggung adalah adil kepada kompleksiti dan bidang tugas yang diberikan kepada setiap unit/bahagian di kementerian/agensi.

PEJABAT AGENSI LUAR NEGARA DIRASIONALISASIKAN

Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan juga akan melaksanakan Rasionalisasi Pejabat-Pejabat Perwakilan dan Wakil Agensi Kerajaan Malaysia di Luar Negeri berkuat kuasa 1 Januari 2025.

Jelasnya, isu pertindihan fungsi dan peranan pejabat wakil agensi Kerajaan Malaysia di luar negara dan mekanisme terbaik untuk mengoptimakan penggunaan sumber dalam pengoperasian pejabat
perwakilan Malaysia di luar negara, sama ada dari aspek sumber manusia atau fasiliti, akan dilaksanakan dengan prinsip ‘shared resources’.

"Sebagai contoh, agensi-agensi yang melaksanakan fungsi promosi pelaburan, perdagangan dan pelancongan, sewajarnya dipusatkan di bawah satu bumbung bagi mengoptimakan kos operasi," tambahnya.