Bercakap pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan sambutan Bulan Kebangsaan di sini hari ini, beliau berkata aspek keselamatan dan nyawa anggota PDRM turut diberi perhatian.
Memberi contoh insiden berbalas tembakan di Jalan PJS 9/1 Subang Jaya, Selangor pada Selasa lepas, Saifuddin Nasution berkata kejadian itu memperlihatkan tahap kecekapan dan profesionalisme pasukan polis berada pada tahap tertinggi.
"Walaupun insiden tembakan berlaku di tempat terbuka, tiada mangsa dalam kalangan orang awam kerana semua aspek (diambil kira). Kalau dia (polis) nak mengepung suspek, dia tahu kawasan mana, sudut mana, sebelum tindakan diambil, ini bukan satu tindakan semberono.
"Maka dalam operasi macam ini, keselamatan nyawa di pihak anggota polis, kemudian diikuti dengan pertimbangan keselamatan awam, baru polis melaksanakan operasi," katanya.
Media semalam melaporkan, pihak polis mengesahkan lelaki yang ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan di Subang Jaya itu merupakan ahli kumpulan samun bersenjata api dari sebuah negara di Benua Afrika.
Turut dilaporkan, pihak polis sudah lama menjejaki kumpulan tersebut yang aktif sejak 2018, kerana terbabit dalam 45 kes melibatkan kerugian kira-kira RM8 juta dari 2018 hingga tahun ini.
Saifuddin Nasution turut memberi jaminan bahawa tahap keselamatan orang awam sentiasa diberi keutamaan melalui proses profiling yang diteliti oleh PDRM sebelum sesuatu operasi dilakukan.
"Keamanan dan ketenteraman awam adalah tugas hakiki kami (polis) dan rakyat sangat bergantung kepada kompetensi pihak polis. Tahap kompetensi ini adalah melalui proses intipan sebelum diakhiri dengan serbuan (operasi)," katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau berkata kementerian sedang meneliti semakan terhadap Akta Pendaftaran Penjenayah dan Orang Tidak Diingini 1969 (Akta 7) bagi memberi 'peluang kedua' kepada individu yang tersenarai di bawah akta tersebut.
Pindaan tersebut bertujuan membersihkan rekod individu yang tersenarai untuk, membolehkan mereka meneruskan kehidupan tanpa halangan seperti mendapatkan pekerjaan dan memohon lesen perniagaan, katanya.
Bagaimanapun katanya, peluang kedua tersebut tidak akan melibatkan semua individu yang tersenarai dan hanya akan diberikan mengikut kesesuaian kes antaranya mereka yang pernah disiasat dalam kes jenayah namun tidak didakwa atau mereka yang ditahan di bawah undang-undang pencegahan.
"Ada kategori individu yang hanya mempunyai kertas siasatan tetapi tidak didakwa di mahkamah, namun nama mereka masih terdapat dalam rekod.
"Dalam keadaan seperti ini, apabila mereka memohon pekerjaan atau lesen perniagaan, mereka perlu melalui proses tapisan yang sering menyebabkan mereka sukar mendapatkan peluang tersebut," katanya.
Kini terdapat lebih satu juta individu yang menghadapi kesukaran untuk mendapat pekerjaan atau membuka perniagaan akibat tersenarai di bawah Akta 7, katanya.
-- BERNAMA