KUALA LUMPUR: Ketidaksaksamaan ekonomi antara kelas masyarakat di negara ini adalah disebabkan kebergantungan tinggi sektor-sektor pekerjaan kepada tenaga kerja luar.

Kata Profesor Ekonomi UKM-Graduate School of Business, Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali, dengan kebanyakan pekerjaan pada gaji minimum diisi oleh pekerja asing, golongan B40 yang menerima natijah terbesarnya.

Maka terpaksalah ramai pekerja tempatan terlibat dalam ekonomi tidak formal, sekali gus tidak dapat menikmati sebaiknya kenaikan kadar gaji minimum yang diumum Perdana Menteri baru-baru ini.

“Bagi saya ketidakupayaan kita mencapai tahap negara berpendapatan tinggi dan maju antara puncanya datang daripada sektor tenaga kerja ini.

"Kita melayan keinginan nak ekonomi murah, maka kita terperangkap dengan masalah ini.

“Saya melihat data dalam sektor ekonomi yang rendah sangat jelas bahawa pekerja-pekerja tempatan di paras pendapatan rendah, tidak berkemahiran Malaysia mereka diasak keluar.

“Saya risau sebenarnya sebab benda ini bukan perkara baharu.

"Dalam Rancangan Malaysia ke-9 (RMK-9) tahun 2006, kita telah nyatakan kita akan turunkan kebergantungan kepada pekerja asing tapi sampai hari ini sudah hampir 16 tahun kita masih bergelut dengan isu ini,” kata Noor Azlan.

Kata Noor Azlan lagi, ini kerana kita meletakkan standard dan imej rendah terhadap pekerjaan yang kita sifatkan sebagai ‘kerja-kerja kotor’ atau 3D (Difficult, Dirty, Dangerous) dan itu katanya merupakan satu kesilapan yang sangat besar dan kita terlalu mengambil ringan tentang perkara ini.

Tambahnya, setiap negara di dunia, terutamanya di negara-negara maju umumnya melihat pekerjaan 3D sama tarafnya dengan kerja-kerja lain, maka dibentuk dan dijenamakan sebaik mungkin.

“Di negara paling kaya, ambil contoh yang per kapitanya paling tinggi, antaranya Luxembourg, ada juga orang yang cuci tandas, yang bersihkan lantai... tapi pekerjaan itu dibuat dengan maruah yang tinggi.

“Jadi kita tak boleh anggap asal kerja kutip sampah mesti kotor macam sampah, tak betul.

"Saya pernah lihat pekerja yang memungut sampah di Amerika Syarikat, dia tak turun dari kenderaan. Dia seorang sahaja (memungut sampah), tapi semuanya automatik.”

Maka, katanya, kerajaan dan rakyat perlu bersama membuat keputusan bahawa untuk kita mahu bergerak ke hadapan menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi, kita mesti mempertingkatkan automasi penggunaan teknologi dan pada masa sama, meningkatkan kualiti pekerja warga kita.

Beliau faham mungkin masih diperlukan tenaga kerja luar di sektor pertanian, khususnya, tetapi itupun beliau tetap mencabar pemain sektor itu untuk memanfaatkan teknologi bagi menaik taraf mutu kerja dan penghasilan dalam bidang itu.

“Pekerjaan yang hari ini kita anggap jawapannya buruh dan buruh itu murah, jadi kita kata orang Malaysia tak bersedia untuk bekerja.

"Tapi negara-negara maju, mereka tidak menggunakan itu sebagai alasan. Saya lihat sendiri di negara-negara maju dalam sektor pertanian.”


Kebergantungan tinggi kepada tenaga kerja asing punca kesempitan ekonomi golongan B40 - Penganalisis