KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyarankan agar majlis agama Islam di negeri lain mempertimbangkan pembukaan Rumah Perantaraan, mengambil contoh inisiatif kerjasama yang dijalankan antara Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah menekankan bahawa kewujudan Rumah Perantaraan, seperti di Kampung Bharu, merupakan langkah berkesan dalam membantu bekas penagih dadah menyesuaikan diri selepas menjalani pemulihan.

Menurutnya, sejak diperkenalkan tahun lalu, Rumah Perantaraan menjadi satu pendekatan penting oleh AADK dengan kerjasama MAIWP dalam memastikan bekas penagih terus menerima bimbingan dan sokongan untuk kekal pulih. 

"Pembukaan Rumah Perantaraan ini sejak tahun lalu adalah antara pendekatan yang baik dibuat oleh AADK dengan kerjasama MAIWP.

"Ia menunjukkan betapa serius KDN dalam memastikan pasukan kami benar-benar membantu mereka yang selesai menjalani proses pemulihan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) untuk terus pulih.

"Disebabkan itu, kami mengalakkan majlis agama di negari lain bagi mengambil contoh dibuat MAIWP yang bekerjasama dengan AADK dalam Rumah Perantaraan ini sebagai model terbaik untuk dimanfaatkan membantu pemulihan klien," katanya.

Beliau turut menggalakkan majlis agama Islam di negeri lain untuk mencontohi pendekatan ini, kerana model yang dilaksanakan oleh MAIWP dan AADK terbukti memberi impak positif dalam membantu pemulihan klien secara lebih menyeluruh. 

Shamsul berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada 59 klien dalam Program Singgah Sahur AADK di Rumah Perantaraan, Kampung Baru, malam tadi, yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Setakat ini, hampir 400 individu telah mendapat manfaat daripada program yang dijalankan di pusat transit tersebut, dengan 59 daripadanya mengikuti program secara tetap bagi memastikan pemulihan mereka lebih efektif. 

Beliau menegaskan bahawa menangani isu dadah tidak boleh disandarkan sepenuhnya kepada kerajaan, sebaliknya memerlukan kerjasama daripada semua pihak, termasuk agensi berkaitan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan masyarakat secara keseluruhannya.

Dalam pada itu, Noraini menjelaskan bahawa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menyerahkan mana-mana gelandangan yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah kepada AADK bagi mendapatkan rawatan dan pemulihan yang lebih terarah. 

Beliau menambah bahawa JKM bertanggungjawab dalam menyelamatkan gelandangan, namun jika individu yang diselamatkan didapati bergelut dengan ketagihan dadah, tindakan lanjut akan diambil oleh AADK yang mempunyai kepakaran dalam aspek pemulihan dan rehabilitasi.