IPOH: Lebih banyak kawasan di daerah Hilir Perak dan Kerian dilanda banjir sehingga tengah malam tadi, menyaksikan mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) melonjak kepada 316 orang berbanding 153 pada tengah hari.

Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri dan kenyataannya berkata, di Hilir Perak sahaja, 174 orang daripada 51 keluarga dipindahkan ke PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak selepas banjir melanda 11 kawasan, berbanding 8 pada tengah hari.

Menurutnya, 11 kawasan itu ialah Lorong Kedah; Lorong Belakang Klinik; Batu 9 Simpang 3; Batu 10, Batu 7; Lorong Sidang Osman; Batu 9; Lorong Mesra; Batu 8; Lorong Sekolah Kg Sungai Kerawai dan Batu 7 1/2.

“Di Kerian juga, kawasan yang dinaiki air bertambah meningkat kepada enam, berbanding tiga pada tengah hari,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Katanya, enam kawasan itu ialah Kg Matang Tengah; Kg Changkat Lobak; Kg Beriai; Kg Selekoh; Kg Parit Air Hitam 2 dan Kg Parit Air Kalang.

Menurutnya, kesemua mangsa dari kawasan-kawasan itu ditempatkan ke dua PPS iaitu di Sekolah Rendah Kebangsaan Changkat Lobak dan Sekolah Kebangsaan Alor Pongsu.

“Seramai 86 mangsa dari 21 keluarga dipindahkan ke PPS Sekolah Rendah Kebangsaan Changkat Lobak manakala 86 dari 18 keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Alor Pongsu,” ujarnya.

Sementara itu, berdasarkan data aras air sungai yang dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air Sungai Bidor di stesen pengukur Changkat Jong berada pada 4.18 meter, melepasi tahap bahaya 3.50 meter.

Paras air Sungai Kerian di stesen pengukur Selama pula berada pada tahap berjaga-jaga 11.23 meter dan paras Air Sungai Kinta di stesen pengukur Tanjung Tualang  juga melepasi paras berjaga-jaga 13.68 meter.