Menurut penduduk air datang dengan laju dan naik dengan cepat seolah-olah rumah mereka seperti dilanda tsunami.
Mangsa, Shuib Nat, 47, dari Kampung Perik, berkata air mulai naik sekitar jam 8 malam dalam keadaan laju sehingga memasuki ke dalam rumah.
Katanya, ketika itu dia tidak sempat berbuat apa-apa dan hanya mampu meminta salah seorang anaknya untuk membantu mengangkat isterinya Mashitah Din, 49, yang lumpuh akibat strok untuk dibawa keluar dari rumah ke tempat selamat.
"Saya tengok air makin naik dan saya memang tidak sedap hati kerana melihat air telah memenuhi, tetapi kali ini air deras dan cepat saya pun panik lalu bawa lari isteri," katanya.
Seorang lagi mangsa Mohd Shahrin Marzuki, 37, dari Felcra Belimbing Tualak berkata, mujur ketika kejadian dia berada di rumah neneknya kerana berasa tidak sedap hati melihat paras air naik dengan pantas sudah melepasi tangga rumah.
Bimbang sesuatu terjadi pada neneknya Habibah Din, 92, dia terus mengangkat neneknya yang lumpuh untuk dipindahkan ke tempat selamat.
Katanya, sebaik berpatah balik air telah naik sehingga paras dada memenuhi ruang di dalam rumah.
"Saya dukung nenek, mula-mula saya angkat pergi rumah jiran bagi nenek duduk di situ kerana di sini air sudah mula naik terpaksa kena bawa (nenek) pergi sana.
"Bila dah pergi sana air mulai reda saya bimbang kerana nenek tidak boleh berjalan lalu saya pindahkan nenek ke rumah adik," katanya.
Sementara itu Pegawai Daerah Padang Terap, Datuk Abdul Ghani Zulkifli berkata, dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan Tualak dan Sekolah Kebangsaan Perik.
Katanya, sehingga jam 12 tengah malam tadi seramai 60 orang mangsa telah dipindahkan di dua PPS dan jumlah itu mungkin bertambah.
Menurut Abdul Ghani, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masih belakukan bancian bagi mengenal pasti jumlah mangsa dan laporan itu akan direkodkan di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) yang telah diaktifkan.
Antara kawasan terjejas banjir adalah Kampung Labi, Kampung Pasir Putih, Pengkalan Tok Putih, Kampung Bendang Raja dan Felcra Belimbing Tualak.
"Kita akan memulakan dengan prosedur biasa makna PPS akan berlanjutan dan bantuan-bantuan makanan akan disalurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Sekiranya keadaan tidak reda kita akan pantau, kalau ada lagi pemindahan yang perlu dilakukan bagi mangsa-mangsa yang terlibat kita akan 'standby' 24 jam untuk kita ambil tindakan," katanya.