Anggota Bomba dan Penyelamat terpaksa memecahkan cermin sisi kanan sebuah kereta bagi menyelamatkan seorang kanak-kanak berusia setahun sembilan bulan yang terperangkap di dalam kenderaan itu di Taman Bemban Awam, Batu Gajah petang semalam.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Batu Gajah Halid Md Zin berkata anggotanya mengambil masa seminit untuk memecahkan cermin itu bagi mengeluarkan Ahmad Furqan Mohd Azizul yang terperangkap hampir setengah jam selepas tertekan kunci keselamatan pintu kereta itu.

Kejadian itu berlaku ketika Ahmad Furqan ditinggalkan sementara di dalam kenderaan itu ketika ibunya menutup pintu pagar rumah, katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Halid berkata pihaknya menerima panggilan pada 6.14 petang dan tiba di tempat kejadian tiga minit kemudian sebelum anggotanya mengambil masa seminit bagi memecahkan cermin kereta berkenaan.