KUALA LUMPUR: Kampung Angkat Madani diperkenalkan bertujuan mencari kaedah terbaik memudah cara dan mempercepat pelaksanaan projek kecil di kampung, bagi merapatkan jurang kemudahan asas dan bandar.

Menurut Menteri Kewangan II Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, setakat 10 Julai lalu, pihaknya mengeluarkan peruntukan bernilai RM86.3 juta kepada kementerian dan agensi terlibat, meliputi 35 buah kampung yang dikenal pasti.

"Bagi progam ini kerajaan memperuntukan RM100 juta bagi 42 Kampung Angkat Madani di seluruh negara dengan pengagihan RM2.5 juta bagi setiap kampung," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan yang dibangkitkan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) berkenaan matlamat utama pelaksanaan Kampung Angkat Madani dan kriteria yang menjadi keutamaan pemilihan sesebuah kampung. 

Jelas Amir Hamzah, kriteria yang diutamakan adalah kampung yang mempunyai liputan kemudahan di bawah 50 peratus atau kemudahan asas daif dan tidak lengkap, serta memerlukan perhatian khusus bagi melengkapkan keperluan asas tersebut.

"Kampung yang terpilih akan dijadikan penanda aras terbaik dalam membantu kerajaan merapatkan jurang antara desa dan bandar.

"Ini termasuk memperkasakan ketua mukim atau jawatankuasa kampung dan komuniti setempat melalui pendekatan gotong-royong serta memudahkan tatacara perolehan dan kewangan," tambahnya. 

Kampung Angkat Madani diperkenalkan dalam Belanjawan 2024 bagi menoktahkan masalah kemiskinan selain memastikan kemudahan serta prasarana asas di kawasan desa dapat dilengkapkan.