Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata landskap modal teroka yang menarik di Malaysia akan menyaksikan lebih banyak syarikat pemula niaga mengambil pekerja merentasi pelbagai tahap kemahiran.
Langkah itu, katanya, akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat, terutama dalam industri bernilai tinggi.
"Pertumbuhan ini akan membolehkan serta menggalakkan usaha pembangunan dan peningkatan kemahiran bakat secara berterusan, mengukuhkan tenaga kerja dan ekonomi selain meningkatkan kedudukan rakyat dalam sosioekonomi," katanya ketika berucap merasmikan acara Malaysia Venture Forum 2024.
Menjelaskan selanjutnya, Amir Hamzah menekankan kepentingan landskap pendanaan yang pelbagai dengan penyertaan kesemua penggiat ekosistem seperti syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), pelabur sektor swasta dan syarikat pemula dalam mendorong ekosistem modal teroka Malaysia selain mempercepat evolusinya.
"Data Suruhanjaya Sekuriti Malaysia menunjukkan cabaran kritikal dalam landskap modal teroka negara kita (iaitu) kebergantungan berlebihan terhadap pembiayaan berkaitan kerajaan," katanya.
Pada 2022, agensi kerajaan dan dana kekayaan berdaulat menyumbang hampir dua pertiga atau 63 peratus daripada jumlah pembiayaan modal teroka.
Amir Hamzah berkata walaupun ini membuktikan komitmen kerajaan dalam melahirkan syarikat pemula, pada masa sama ini turut mengetengahkan jurang yang perlu ditangani bagi memastikan kemampanan dan dinamisme ekosistem berkenaan.
"Ekosistem yang bergantung hanya kepada pendanaan awam, akan lebih bergelut untuk matang secara menyeluruh.
"Kebergantungan ini tidak hanya mengehadkan trajektori pertumbuhan penuh syarikat pemula yang berkembang, tetapi turut mengurangkan tarikan Malaysia di mata kalangan pemodal teroka antarabangsa yang berpengalaman," katanya.
Beliau berkata di sebalik usaha negara mengembangkan serta mengukuhkan ekosistem modal teroka, tidak dinafikan cabaran yang terbentang, termasuk risiko berkaitan pelaburan perniagaan yang berteraskan inovasi.
"Modal teroka, secara sifatnya, adalah bukan tanpa ketidakpastian...ia diasaskan daripada membuat keputusan berisiko dan dengan ganjaran tinggi. Kita perlu akui akan ada pelaburan yang tidak dapat memenuhi sasaran yang diharapkan. Inilah sebahagian ciri-ciri ekosistem modal teroka yang dinamik. (Pada masa sama) ini tidak harus menghalang kita daripada mengambil langkah berani ke hadapan.
"Kita perlu melihatnya sebagai peluang untuk mengukuhkan rangka kerja tadbir urus, memperkemas strategi dan mengukuhkan keazaman bagi menyokong syarikat permulaan inovatif yang berpotensi mengubah ekonomi kita," katanya.
Amir Hamzah turut mengulangi komitmen kerajaan untuk kekal kukuh menyokong ekosistem modal teroka dan menggalakkan semua pihak berkepentingan iaitu pelabur, usahawan dan orang ramai untuk lebih yakin dengan institusi tempatan.
Beliau berkata kerangka Ekonomi MADANI juga menetapkan modal teroka sebagai bidang tumpuan utama yang sejajar dengan hasrat Malaysia menaikkan siling ekonomi dan mengembangkan ekonomi negara.
"Usaha membangunkan ekosistem modal teroka dapat memacu perancangan syarikat inovatif dan pertumbuhan tinggi ke dalam indeks selain meningkatkan daya tarikan pasaran kepada pelabur," katanya.
-- BERNAMA