PUTRAJAYA: Pelaksanaan kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) akan ditambah baik dengan melaksanakan kaedah point-to-point berbanding kaedah statik yang dilaksanakan sebelum ini.


Ringkasan AI
  • Pelaksanaan kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) akan ditambah baik dengan kaedah point-to-point untuk pemantauan kelajuan kenderaan secara lebih menyeluruh.
  • Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menyatakan bahawa kaedah ini akan memastikan kenderaan perlahan dalam jarak tertentu, bukan hanya di depan kamera statik.
  • Pelaksanaan awal akan dilakukan di kawasan berbahaya seperti Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) di Genting Sempah dan Terowong Menora, Ipoh, untuk mengurangkan risiko kemalangan.


Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, ia membolehkan pemantauan kelajuan kenderaan dilakukan secara lebih menyeluruh dengan mengukur kelajuan purata kenderaan antara dua titik kamera berdasarkan jarak dan masa perjalanan.

Menurutnya, pelaksanaan kamera AwAS ketika ini yang diletakkan di satu lokasi secara statik dilihat tidak mencapai objektif untuk mengurangkan kelajuan kenderaan seterusnya mengurangkan risiko kemalangan.

"Apa yang kita nak menjurus kepada pendekatan baharu ialah kita sudah ada teknologi baharu, kita akan lihat antara dua titik checkpoints.

"Kita tidak mahu pemandu memperlahankan kenderaan hanya di depan kamera itu, tetapi (perlahan) dalam satu jarak yang tertentu.

"Katakan antara titik A dengan titik B, kita ingin tahu pemandu menggunakan masa berapa lama.

"Kalau dia menggunakan kurang daripada masa yang sepatutnya, maksudnya dia pecut dan akan dikenakan tindakan (saman),” katanya dalam sidang media, di sini, pada Isnin.

Sebagai permulaan katanya, pelaksanaan ini akan dilakukan di kawasan berbahaya dan berisiko tinggi seperti kawasan berbukit di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) di Genting Sempah dan Terowong Menora, Ipoh.

"Objektif kita adalah untuk memastikan kenderaan itu perlahan terutamanya bas dan sebagainya supaya pemandu tidak memecut semasa mereka turun bukit.

"Kaedah sekarang kurang berkesan walaupun kita pasang kamera, kenderaan hanya perlahan di tempat itu dan selepas itu dia pecut semula,” katanya.

Beliau berharap, melalui penambahbaikan sistem AwAS dengan mekanisme point-to-point, ia menyumbang kepada penurunan kadar kemalangan jalan raya serta meningkatkan kesedaran dan disiplin pemandu di seluruh negara.