Ringkasan AI
- Sistem HS-WIM akan memantau muatan kenderaan berat secara automatik menggunakan teknologi kamera dan sensor, dijangka mula beroperasi suku ketiga tahun ini.
- Sistem ini akan membolehkan pengeluaran saman secara automatik kepada pemilik kenderaan yang melebihi had muatan, berbanding cara manual yang memerlukan kenderaan ditahan dan dibawa ke stesen penimbang.
- Kementerian Pengangkutan telah mengenal pasti 10 lokasi di seluruh negara untuk pemasangan sistem ini, dengan fokus pada kawasan berisiko tinggi kemalangan dan aliran trafik yang tinggi.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pemasangan itu merupakan satu pendekatan baharu untuk memantau pergerakan kenderaan berat yang melebihi had muatan.
"HS-WIM ini menggunakan teknologi kamera, apabila ada kenderaan berat lalu sahaja di sesuatu kawasan, adanya sensor, kita akan tahu sama ada kenderaan itu melebihi had muatan atau tidak dan kenderaan itu akan dirakamkan kamera.
"Jadi, kita akan tahu waktu kenderaan berat itu lalu di sana jam berapa, berapa berat muatan, jadi kalau kenderaan lebih muatan, kita boleh keluarkan saman kepada pemilik kenderaan terbabit.
"Berbanding cara sekarang ini sangat manual. Kita kena tahan lori itu dan bawa ke stesen penimbang, baru kita dapat tahu sama ada ia melebihi had muatan atau tidak,” katanya dalam sidang media, di sini, pada Isnin.
Loke berkata, kementeriannya telah mengenal pasti 10 lokasi di seluruh negara yang akan dipasang dengan sistem HS-WIM.
"Pelan induk melibatkan penguatkuasaan melalui HS-WIM akan dibangunkan bertujuan memperbanyak pemasangan sistem ini di tempat hot spot, seperti kawasan berisiko tinggi kemalangan dan aliran trafik yang tinggi,” ujarnya.