KUALA LUMPUR: Malaysia dan Singapura akan terus membantu antara satu sama lain membina hubungan lebih baik dengan negara luar.

Felo Kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Dr Oh Ei Sun menjelaskan, kedua-dua negara akan terus memaksimumkan potensi bersama terutama dalam membangunkan dasar ekonomi dua hala sekali gus memberi keuntungan bukan sahaja kepada Malaysia malah Singapura.

Tambah beliau, perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dimeterai juga akan mengubah landskap ekonomi kedua-dua negara.

"Dalam satu maksud yang saling memuji kekuatan masing-masing, sebagai contoh Singapura akan mempunyai hubungan khas dengan beberapa negara. Malaysia juga mempunyai hubungan sedemikian dengan negara lain. Kita saling membantu untuk membina hubungan yang lebih baik dengan semua negara.

"Kita adalah jiran yang sangat baik, kita sangat mesra antara satu sama lain. Walaupun ada isu-isu yang belum selesai, tetapi kita masih dapat melakukan perkara sebegini. Di tempat lain di dunia, negara jiran biasanya sering bergaduh antara satu sama lain, tetapi di sini kita bercakap tentang saling memuji kekuatan masing-masing. Saya berharap semangat sebegini diteruskan oleh pemimpin masa depan," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perjanjian bersama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) adalah satu inisiatif unik yang melibatkan dua negara bekerjasama untuk menggalakkan pelaburan dan kestabilan.

Katanya, hubungan yang akrab, kestabilan politik dan dasar ekonomi yang jelas adalah kekuatan utama yang bakal menjadi insentif yang paling menarik untuk pelabur.

Dalam masa sama, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata zon JS-SEZ dijangka dapat menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor logistik terutamanya syarikat yang berpindah dari Singapura ke Johor.

Tambah beliau, Johor mempunyai kelebihan kerana mempunyai bilangan gudang yang lebih banyak dan besar.