Nelayan Kuala Muda, Penaga, Kepala Batas diarah menghentikan kaedah penjualan ikan cara bisik sebaliknya mereka dikehendaki menjual hasil tangkapan terus kepada peraih.

Arahan itu berkuatkuasa serta merta bagi mengelak jangkitan virus COVID-19 kerana kaedah berbisik tidak mengambil kira jarak sosial satu meter antara nelayan dengan peraih.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor dalam kenyataan pada Ahad memberitahu keputusan menghentikan kaedah jualan ikan cara bisik hasil perbincangan dengan nelayan, wakil Kementerian Kesihatan dan penguatkuasa Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) pada pagi Ahad.



Susulan larangan cara bisik juga, jualan ikan secara runcit kepada orang ramai juga tidak dibenarkan bagi mengelak berlakunya kesesakan seperti sebelum ini.

Menurut Noorzainy, pihak polis dengan kerjasama anggota Pasukan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan penguatkuasa LKIM mmembuat sekatan jalan bagi memastikan hanya peraih boleh memasuki tempat pendaratan ikan.

Langkah itu bagi memastikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan jarak sosial satu meter benar-benar dipatuhi.

Bagaimanapun, larangan jualan ikan cara bisik berkuatkuasa selagi PKP dilaksanakan dan kegiatan tersebut boleh dijalankan seperti apabila keadaan kembali pulih.