KUALA LUMPUR: Banjir di seluruh negara kian memburuk, dengan bilangan mangsa di sembilan negeri kini mencecah 119,525 orang membabitkan 35,984 keluarga setakat pukul 6 pagi, hari ini.

Kesemua mangsa banjir itu kini ditempatkan di 696 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara.

Menerusi maklumat Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), daripada jumlah keseluruhan itu, majoriti mangsa dicatatkan di Kelantan dengan 80,140 orang daripada 24,791 keluarga yang ditempatkan di 278 PPS di 10 daerah.

Daerah yang terjejas di Kelantan adalah Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah, Pasir Puteh, Kuala Krai, Bachok, Kota Bharu, Machang, Jeli dan Gua Musang.

Di Terengganu, bilangan mangsa banjir juga meningkat kepada 31,099 daripada 8,712 keluarga di 322 PPS di lapan daerah iaitu Setiu, Besut, Hulu Terengganu, Kemaman, Dungun, Kuala Terengganu, Marang dan Kuala Nerus.

Manakala di Kedah, 4,477 mangsa daripada 1,411 keluarga berteduh di 50 PPS di enam daerah iaitu Kubang Pasu, Sik, Kota Setar, Padang Terap, Kuala Muda dan Pokok Sena.

Jumlah mangsa di Negeri Sembilan juga menunjukkan peningkatan kepada 2,252 mangsa daripada 632 keluarga di empat daerah dan ditempatkan di 24 PPS di daerah Tampin, Kuala Pilah, Jempol dan Port Dickson.

Sementara di Perlis pula, sebanyak 488 mangsa daripada 145 keluarga terjejas dari tiga daerah berlindung di empat PPS di Arau, Kangar dan Padang Besar.

Mangsa banjir di Selangor adalah sebanyak 476 orang daripada 119 keluarga dan setakat ini dua PPS sudah dibuka di Klang.

Di Melaka, jumlah mangsa meningkat kepada 228 orang daripada 61 keluarga berlindung di enam PPS di tiga daerah, iaitu Jasin, Alor Gajah dan Melaka Tengah.

Jumlah mangsa di Perak kekal 20 orang daripada tujuh keluarga yang berlindung di satu PPS di daerah Kerian.

Sementara di Johor, jumlah mangsa meningkat kepada 336 mangsa daripada 101 keluarga ditempatkan di sembilan PPS di dua daerah iaitu Tangkak dan Segamat.