KAHERAH: Delegasi Hamas dijangka tiba di Kaherah pada Sabtu untuk rundingan dengan pegawai Mesir mengenai gencatan senjata di Gaza.

Lawatan ini diadakan beberapa hari selepas Amerika Syarikat (AS) mengumumkan usaha baharu bersama Qatar, Mesir dan Turki untuk menghidupkan semula rundingan gencatan senjata tersebut.

Usaha berbulan-bulan untuk mencapai gencatan senjata di Gaza sebelum ini hanya menghasilkan sedikit kemajuan dan rundingan kini ditangguhkan.

Gencatan senjata dalam konflik antara Israel dan Hezbollah di Lubnan, berkuat kuasa sebelum subuh Rabu, menghentikan permusuhan yang semakin meningkat dalam beberapa bulan terakhir, sekali gus mengalihkan perhatian daripada konflik Gaza.

Ketika mengumumkan perjanjian di Lubnan pada Selasa, Presiden AS Joe Biden menyatakan bahawa beliau akan memperbaharui usaha untuk mencapai gencatan senjata di Gaza.

Beliau turut menggesa Israel dan Hamas memanfaatkan peluang ini untuk menghentikan konflik.

Menurut pegawai Gaza, kempen Israel di Gaza telah mengorbankan hampir 44,300 orang dan menyebabkan hampir seluruh penduduk wilayah tersebut terpaksa berpindah sekurang-kurangnya sekali.

Sebahagian besar wilayah itu kini musnah akibat serangan.