TEBING BARAT: Rangkaian berita antarabangsa, Al Jazeera mengecam penutupan pejabatnya di Tebing Barat yang diduduki sambil menyifatkan langkah tersebut sebagai “seiring” dengan “amalan” yang dikenakan oleh Israel terhadap krew medianya.

“Al Jazeera menganggap keputusan Pihak Berkuasa Palestin sebagai cubaan untuk menghalangnya daripada melaporkan peristiwa yang semakin memuncak di wilayah yang diduduki,” kata Al Jazeera dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Kenyataan tersebut menegaskan, tindakan itu “dikeluarkan susulan kempen berterusan hasutan dan intimidasi oleh pihak-pihak yang disokong oleh PA terhadap wartawan kami.”

Al Jazeera juga menyifatkan larangan itu sebagai “cubaan untuk menyembunyikan kebenaran mengenai peristiwa di wilayah yang diduduki” terutamanya di Jenin.

Dalam perkembangan sama, pasukan pejuang Hamas menyifatkan keputusan PA menggantung operasi Al Jazeera sebagai “pelanggaran yang jelas terhadap kebebasan media” dan “tindakan menindas” yang bertujuan membungkam suara rakyat.

Kumpulan tersebut juga menyifatkan keputusan PA sebagai “tidak sah” dan “penghinaan” terhadap profesion kewartawanan.

Hamas, yang merupakan pesaing kepada Fatah, pernah bertempur dengan Fatah pada tahun 2007 di Gaza, dan mengusir kumpulan tersebut dari wilayah itu. - Al Jazeera