Walaupun memiliki musim yang memberansangkan dalam kategori beregu lelaki bersama Wan Arif Wan Junaididi, pemain berusia 24 tahun itu percaya dirinya masih memiliki kudrat untuk bersaing dalam beregu campuran.
"Saya memang suka main beregu campuran dan rasa mampu untuk bermain dalam dua kategori. Saya juga masih bersemangat dan boleh menangani perkara ini," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Dalam pada itu, Roy King berkata beliau mungkin akan berpasangan dengan pemain lain buat sementara waktu susulan kecederaan lutut Valeree Siow yang terpaksa disisihkan bagi tempoh panjang.
Bagaimanapun, Roy King mengakui masih belum mengetahui siapakah yang bakal menjadi pasangan sementaranya bagi beregu campuran.
"Saya masih belum pasti siapa pasangan baru saya, tapi sudah cadangkan beberapa nama kepada jurulatih. Sebab banyak perkara yang perlu dilihat untuk gandingan baru saya nanti.
"Tapi jurulatih cakap saya akan main dengan pasangan baru supaya perasaan ketika pertandingan (beregu campuran itu tidak hilang)," katanya.
-- BERNAMA