JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor telah mengenal pasti kira-kira 10,000 rumah setinggan di negeri ini dan sedang melakukan pemantauan bagi menanganinya, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor.

Beliau berkata buat masa ini Johor Bahru dikenal pasti sebagai daerah paling banyak mempunyai rumah setinggan.

Menurut Mohd Jafni, bagi menangani isu tersebut, kerajaan negeri mewujudkan satu pasukan petugas sejak tahun lepas.

"Sebenarnya rumah setinggan ini ada pelbagai status. Ada yang didirikan di atas tanah Persekutuan, ada yang dibina di atas tanah kerajaan negeri dan di tanah pemaju.

"Kerajaan negeri lebih memberi tumpuan kepada setinggan di tepi sungai terutama yang melibatkan pencemaran air dan sebagainya," kata beliau kepada pemberita selepas majlis pelancaran transformasi perkhidmatan Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) di sini hari ini.

Mohd Jafni berkata kerajaan Johor juga menggunakan kaedah penyelesaian yang berbeza mengikut kategori orang yang menduduki rumah setinggan dan jenis tanah yang digunakan untuk membina rumah berkenaan.

"(Antara) pendekatan yang kita buat ialah kalau yang duduk itu warganegara, kita akan sediakan rumah sewa untuk mereka dahulu, kita carikan pendapatan untuk mereka lepas tu baru kita arahkan mereka pindah.

"Ada (mereka) yang tinggal (di kawasan rumah setinggan) dekat 40 hingga 50 tahun tetapi isunya didirikan di tanah Persekutuan. Bila tanah Persekutuan, kita (kerajaan negeri) tak boleh ambil begitu sahaja.

"Kita kena berunding dengan kerajaan Persekutuan, sama ada kita perdagangan barter melalui gantian tanah, itu antaranya. Tidak bermaksud setinggan kita robohkan, ada juga kaedah penyelesaian (yang boleh dibuat)," kata beliau.

Menurut Mohd Jafni bagi penempatan rumah setinggan yang melibatkan penghuni warga asing dan tiada dokumen pengenalan diri, antara tindakan yang telah dilakukan termasuk merobohkan penempatan tersebut.

-- BERNAMA