PUTRAJAYA: Tiada rakyat Malaysia terlibat dalam tragedi nahas udara membabitkan penerbangan pesawat Embraer 190 J2-8243 yang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Aktau, Kazakhstan pada 25 Disember.

Perkara itu disahkan oleh Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan pada Rabu.

Bagaimanapun Kementerian berkata, mana-mana rakyat Malaysia di Kazakhstan yang memerlukan bantuan, atau ingin mendapatkan maklumat lanjut diminta menghubungi Kedutaan Malaysia di Astana.

Kedutaan Malaysia di Astana

Alamat: 26 Sarayshyk Street, Diplomatic District, 010000 Astana, Kazakhstan
Telefon: +7 (7172) 79 06 90 / +7 (7172) 79 06 95 / +7 777 079 0014\
E-mel: mwastana@kln.gov.my


Dalam pada itu, pihak Kementerian ingin menyampaikan simpati yang mendalam terhadap keluarga mangsa terlibat, dan mendoakan mereka yang tercedera agar pulih dengan segera.

“Kami akan terus memantau situasi ini secara dekat,” kata Kementerian lagi.

Terdahulu media melaporkan, sekurang-kurangnya 28 penumpang terselamat manakala 42 yang lain dikhuatiri maut apabila pesawat Azerbaijan Airlines yang membawa 67 penumpang terhempas di bandar Aktau, Kazakhstan pada Rabu.

Sekurang-kurangnya dua daripada mangsa terselamat adalah kanak-kanak dan kesemua 28 mangsa yang terselamat telah dibawa ke hospital.

Kementerian Pengangkutan Kazakhstan dalam laporan awal memberitahu 37 penumpang adalah warga Azerbaijan, enam dari Kazakhstan, tiga dari Kyrgyzstan dan 16 dari Rusia.