Menurut Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, ia diputuskan menerusi perbincangan pada Oktober lalu antara pihaknya dengan Kerajaan Negeri Johor.
"Harga ditetapkan bagi membeli air terawat dari Singapura adalah 50 sen bagi setiap 1,000 gelen. Dalam isu air terawat, dulu kita janji beli lima juta gelen sehari (MGD) tapi sekarang kita beli sehingga 16 juta MGD.
"Kalau buat perbandingan, kos kita rawat sendiri air secara purata sekitar RM1.80 untuk setiap meter padu. Jadi harga itu kalau kita rawat tukar daripada gelen ke meter padu, kita beli sekitar 11 sen setiap meter padu, ada timbal balik di situ," katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) yang menyoal impak ekonomi terhadap negara ekoran penjualan air mentah kepada Singapura dengan harga dianggap berbentuk subsidi.
Perjanjian yang akan berakhir pada 2061 itu memberikan Singapura 250 juta gelen air mentah sehari pada harga tiga sen bagi setiap 1,000 gelen manakala Malaysia pula membeli semula air yang dirawat pada harga 50 sen setiap 1,000 gelen.
Akmal memaklumkan, sebarang perubahan terhadap kadar sedia ada perlu mempertimbang implikasi terhadap kos pembelian air terawat dari Singapura yang menjadi keperluan kritikal di Johor.
Bagi mengurangkan kebergantungan kepada Singapura, Akmal memaklumkan, pelbagai projek Zero Dependency sudah dirangka dan sedang dilaksanakan ketika ini.
Ini termasuk pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di Sungai Lebak, pembinaan baraj di Sungai Sedili Besar serta pembinaan loji rawatan air.