Jenazah Inspektor Zulkifli Mamat yang terbunuh dalam Ops Sulu di Lahad Datu pada Jumaat selamat dikebumikan di kampung halamannya di Terengganu petang tadi.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Bayor, Tembila dekat Jerteh.

Suasana pilu mengiringi upacara pengkebumian wira negara ini. Ia dihadiri oleh ahli keluarga, sanak saudara, sahabat handai serta pemimpin setempat dan negeri.

Jenazah Allahyarham Zulkifli tiba dengan penerbangan khas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Lapangan Terbang TUDM Gong Kedak, Bukit Puteri pada pukul 3.15 petang.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berangkat hadir untuk memberikan penghormatan terakhir.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Noor Rashid Ibrahim hadir mewakili Ketua Polis Negara. Beliau diiringi Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamsah Mustapha dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman.

Jenazah kemudian diiringi pasukan polis dibawa ke rumah ibu Allahyarham di Kampung Kubang Ikan.

Ibu Allahyarham Khatijah Ismail yang ditemui pemberita berkata, beliau redha dengan pemergian anaknya dan tidak mahu memanjangkan apa yang disifatkannya ketentuan Tuhan.

"Ini kerja Tuhan. Kalau dia duduk di rumah saja pun, kalau ajalnya sampai, dia pergi juga. Itu sebab makcik redha," katanya.

Zulkifli, 29 tahun, terbunuh bersama Koperal Sabarudin Daud, 46 ketika berkawal di satu daripada pos kawalan di sekitar Kampung Tanduo, Lahad Datu. Allahyarham terkena mortar yang dilepaskan kumpulan penceroboh bersenjata dari Selatan Filipina.

Allahyarham Zulkifli meninggalkan seorang balu, Noraziah Noor dan dua anak lelaki, berusia empat dan satu tahun.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, kerajaan negeri akan menimbangkan bentuk bantuan yang akan disalurkan kepada keluarga Allahyarham.

Sementara itu, Bernama melaporkan jenazah Koperal Sabarudin selamat disemadikan di tanah perkuburan Islam Sungai Besar.

Antara yang hadir mengiringi jenazah pada upacara pengebumian termasuklah Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar.

Jenazah Allahyarham tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada 12.30 tengah hari tadi sebelum dibawa ke kediaman ibunya di Kampung Sungai Lias, Sungai Besar, bagi memberi peluang kepada anggota keluarga menatap wajah Allahyarham buat kali terakhir.

Abang susuan Allahyarham, Che Azni Ahmidun, 48, ketika ditemui pemberita selepas pengebumian itu, berkata belia reda dengan pemergian Allahyarham serta berterima kasih kepada semua pihak, terutama warga PDRM yang menguruskan jenazah adiknya.

"Walau apa jua keadaan, kami sekeluarga berasa banggga kerana beliau telah digelar wira negara...cuma saya terkilan kerana saya menatap wajahnya buat kali terakhir dalam keadaan dia tidak lagi bernyawa," katanya. Kali terakhir mereka bertemu ialah pada Aidilfitri lalu.

Sementara itu, anak sulung Allahyarham, Haziq Wahiduzzaman, 19, berkata kali terakhir beliau bertemu dengan bapanya ialah pada cuti tahun baru Cina.

"Waktu itu saya pulang bercuti (dari kolej) dan tiada tanda-tanda dari dia yang menunjukkan dia akan 'pergi'.

"Kami adik-beradik tak sangka perkara ini berlaku pada abah. Walau apa pun kami bangga dengannya kerana tugas yang diamanahkan kepadanya sebagai anggota keselamatan negara," katanya

Selain Haziq yang belajar di Kolej Yayasan Melaka, Allahyarham meninggalkan dua lagi anak iaitu Haziqah Zuhairah dan Hazreq Zarif serta balu Nurul Nisah Abu.