MANILA: Kira-kira 29 penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino di Filipina telah dibatalkan susulan letusan Gunung Kanlaon di Pulau Negros, menurut Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Antarabangsa Manila pada Selasa, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).

Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina (Phivolcs) pada Isnin malam menaikkan tahap amaran Gunung Kanlaon daripada tahap satu kepada tahap dua akibat letusan yang berlangsung selama enam minit, lapor Agensi Berita Emirates (WAM).

Pihak berkuasa penerbangan menasihatkan juruterbang untuk mengelak daripada terbang berhampiran puncak gunung berapi kerana pancutan daripada letusan freatik secara tiba-tiba boleh membahayakan.

-- BERNAMA