Konsultan Komunikasi Digital Politik Tai Zee Kin berkata, meskipun ada keperluan untuk mengambil tindakan mendadak bagi meyakinkan industri mengenai hala tuju kerajaan, namun faktor pilihan raya kecil (PRK) menjejaskan sikap kerajaan.
“Kerajaan ini, memang kita tahu, perlu menjaga populariti, dan siri-siri PRK akan datang, semuanya akan berpandukan kepada Belanjawan 2024 untuk pelbagai pihak politik.
"Jadi, ia kena jaga. Maka, kerajaan jadi terlampau segan (untuk laksanakan perubahan besar) walaupun ada niat. Itu masalahnya,” katanya ketika ditemu bual dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.
Tai mengambil contoh penyaluran peruntukan kepada sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang sepatutnya mendapat dana lebih tinggi.
Ini, katanya, secara tidak langsung mengurangkan dana kepada institusi pengajian tinggi awam dan institusi pengajian tinggi swasta.
Menurutnya, walaupun ia merupakan strategi fiskal yang baik untuk menyokong industri bagi jangka masa panjang, namun ia tidak popular dalam kalangan majoriti rakyat Malaysia yang boleh menimbulkan reaksi negatif terhadap kedudukan politik kerajaan.
“Kenyataan ini memang tidak popular. Majlis Profesor Negara akan marah. Majlis Perwakilan Pelajar akan mogok. Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung akan marah,” katanya lagi.