Mana-mana pihak khususnya pembangkang tidak seharusnya mempertikaikan penghormatan kerajaan terhadap pejuang negara yang terkorban dalam insiden pencerobohan di Lahad Datu.

Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, sumbangan kerajaan terhadap waris-waris mereka yang terkorban di Lahad Datu jauh lebih besar berbanding apa yang diterima oleh waris mangsa tragedi MH17.

Menurut Hishammuddin, kerajaan tidak perlu menghebohkan setiap sumbangan yang diberi terhadap waris mangsa pencerobohan Lahad Datu.

Namun, katanya, sikap pembangkang yang sering mempertikai penghormatan yang diberikan terhadap mangsa MH17 sehingga seringkali dibandingkan dengan penghormatan terhadap mangsa tragedi Lahad Datu, adalah amat tidak wajar.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang di Johor Bahru.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, nama dan jumlah sebenar mangsa MH17 yang akan dibawa pulang pada Selasa ini akan diumumkan pada Isnin.

Katanya, terdapat beberapa perkara yang perlu disahkan terlebih dahulu sebelum senarai nama dapat diumumkan.

Beliau bagaimanapun berkata, istiadat menyambut kepulangan peringkat ketiga mangsa MH17 itu akan disiarkan secara langsung di kaca televisyen.