Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memainkan peranan sebagai agensi pusat dalam pengurusan hal ehwal Islam dan bukan mengawasi dan memaksa umat Islam mengikut versinya.

Ketua Pengarah jabatan itu, Datuk Othman Mustapha berkata JAKIM juga menyelaras pentadbiran Islam di negara ini, serta berperanan dalam pelajaran dan undang-undang Islam ke arah pembangunan ummah di seluruh negara.

"Oleh itu, pandangan bahawa kehidupan peribadi rakyat diawasi dan memaksa Islam versi JAKIM ke atas orang lain adalah tidak benar dan lari dari realiti," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Beliau berkata sebaliknya pendekatan mendidik digunakan sebaik mungkin dalam memberi kefahaman tentang Islam kepada masyarakat.

"Pada masa yang sama juga, kita meraikan kepelbagaian pendapat dalam mengamalkan ajaran Islam selagi ia berada di landasan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Mazhab Syafie menjadi keutamaan," katanya.

Beliau mengulas laporan portal berita mengenai dakwaan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa JAKIM mahu memaksa semua orang untuk mengikut versinya.

Othman berkata, kewujudan JAKIM dan agensi-agensi agama Islam di peringkat negeri dan Persekutuan adalah amat signifikan untuk mendidik masyarakat Islam supaya dapat beramal dengan tuntutan yang sebenar dan bersifat sederhana (wasatiyyah).

"Malahan dapat mengelakkan negara ini dari berlakunya aktiviti-aktiviti keganasan dan ekstremisme yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam dan panduan yang ditunjukkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

"Ini juga seperti yang terkandung di dalam perlembagaan yang kita sama-sama junjung," katanya.