KUALA LUMPUR: Jabatan Muzium Malaysia pada Jumaat menerima sumbangan Koleksi Set Tagung Kadazan daripada Pertubuhan Kadazan Sabah yang terdiri lapan koleksi seperti set tagung, gendang dan satu set kulintangan.

Jabatan Muzium Malaysia dalam kenyataan memaklumkan, set Tagung Kadazan yang berusia lebih 100 tahun itu ialah koleksi asal milik Presiden Pertubuhan Kadazan Sabah, Datuk Seri Marcel Leiking.

"Tagung ini diperbuat di Brunei semasa North Borneo (Sabah) dikuasai oleh Kesultanan Brunei sekitar 1700-an. Tagung itu dibawa oleh peniaga dari Brunei ke pesisir Pantai North Borneo dan kemudian dibawa ke kawasan pedalaman," menurut kenyataan itu.

Majlis penyerahan Tagung Kadazan itu diadakan di Ruang Tengah Pameran Raja Kita di Jabatan Muzium Malaysia.

Jabatan Muzium Malaysia memaklumkan, penyerahan koleksi itu bertepatan dengan Kempen Derma Koleksi yang telah dilancarkan pada 7 Dis 2021, bertujuan melindungi dan melestari khazanah warisan negara melalui sumbangan koleksi peribadi masyarakat yang bernilai dari sudut sejarah, seni, budaya dan alam semula jadi.

Menurut kenyataan itu, sebanyak 468 koleksi diterima daripada 31 penderma dari tahun 2020 hingga 2024 yang terdiri daripada pelbagai klasifikasi koleksi seperti sampul surat, permainan dan hiburan, mata wang, alat perusahaan, senjata, pakaian dan perhiasan diri.

"Penderma koleksi akan menerima tiga jenis manfaat antaranya sijil dan surat penghargaan sebagai menghargai sumbangan kepada bangsa dan negara, nama penderma akan terpapar pada kapsyen pameran setiap kali koleksi dipamerkan dan penderma layak untuk inisiatif pengecualian cukai (Akta Cukai Pendapatan dibawah Subseksyen 44 (6A) - Hadiah artifak, manuskrip dan lukisan," menurut kenyataan itu.
- BERNAMA