APAKAH yang anda tahu tentang Piala Her Majesty Ship (HMS) Malaya? Atau mungkin nama piala itu langsung tidak pernah anda dengar sedangkan usianya mencecah satu abad pada tahun 2021.

Bukan satu piala, tetapi dua Piala HMS Malaya yang direka khas di London khusus bagi sukan bola sepak dan ragbi Malaysia, bakal mencapai usia 100 tahun.

Ukiran di atas Piala HMS bola sepak memaparkan Singapura pasukan pertama menjulang piala berkenaan pada tahun 1921.

Sempena dengan sambutan Hari Malaysia 2020 pada Rabu, Astro AWANI kongsikan sejarah kedua-dua Piala HMS tersebut buat tatapan pembaca.

Kedua-dua piala berkenaan dihasilkan pada tahun 1921 sebelum kapal HMS Malaya belayar ke Malaysia pada tahun yang sama.

Tulisan jawi

Pengarah Bahagian Pengurusan Konservasi Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Zainal Ariffin berkata kedua-dua piala berkenaan tiba di Malaysia pada tahun 1921 sempena dengan lawatan oleh rombongan Duke of Connought.

“Apa sebenarnya Piala HMS Malaya ini? Seperti yang kita maklum bahawa ia adalah merupakan piala sukan bola sepak yang pertama di negara kita.

"Sebenarnya piala ini ada dua, satu adalah piala bagi sukan bola sepak dan satu lagi adalah piala bagi sukan ragbi.

“HMS Malaya bermaksud kapal Her Majesty Ship dan piala ini dah lebih kurang 46 tahun digunakan sebelum ia digantikan dengan Piala Malaysia yang sekarang ini iaitu yang ketiga,” katanya ketika ditemui Astro AWANI baru-baru ini.

Bercerita lanjut, piala itu telah diserahkan kepada JMM pada 19 Februari 1968 oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada ketika itu.

“Piala ragbi pula telah diserahkan pada tahun 1983 oleh Kesatuan Ragbi Malaysia kepada JMM untuk disimpan dan dipulihara.

"Pentingnya kedua-dua piala ini kepada Malaysia adalah pada tahun hadapan, artifak ini akan berusia 100 tahun,” jelasnya.



Pemuliharaan Artifak

Berada dalam simpanan JMM selama puluhan tahun, pastinya usaha untuk memulihara koleksi berkenaan perlu dilakukan dengan teliti mengikut prosedur yang ditetapkan.

Kurator Bahagian Pengurusan Konservasi JMM, Muhamad Faiz Azizan tampil memberikan penjelasan tentang teknik konservasi atau pemuliharaan setiap artifak yang berada dalam simpanan JMM.

https://www.youtube.com/watch?v=3HTR_Tzdzyo

“Proses konservasi ialah salah satu proses pemuliharaan untuk memanjangkan hayat sesuatu artifak dan juga koleksi di JMM.

"Proses utama yang dilakukan sebelum pelaksanaan kerja-kerja konservasi bermula dengan membawa keluar artifak daripada repositori (bilik simpanan).

“Kemudian kita akan menjalankan kerja-kerja penilaian kondisi iaitu untuk melihat dahulu pada bahagian mana kerosakan yang perlu difokus untuk kerja-kerja pembersihan.

"Untuk konservasi kali ini, kita menggunakan teknik XRF iaitu pencarian bahan untuk menentukan jenis material yang pada piala tersebut,” jelasnya.

Teknik pemulihan atau konservasi perlu dilakukan bagi memanjangkan hayat artifak atau koleksi di JMM.

Menurut Muhamad Faiz, setelah proses penilaian kondisi dilakukan, kerja-kerja konservasi kuratif akan diteruskan yang mana ia terbahagi kepada dua iaitu pembersihan mekanikal dan pembersihan kimia.

Pembersihan mekanikal menggunakan bahan-bahan biasa yang tidak begitu tajam untuk mengelakkan sebarang calar pada artifak berkenaan piala tersebut menggunakan lidi dan putik kapas.

Sekiranya masih terdapat kesan kotoran pada piala tersebut, penggunaan bahan kimia akan digunakan termasuk silver polish dan wood polish.

Penghormatan buat JMM

Memiliki dua buah piala yang menghampiri usia 100 tahun, Muhamad Faiz menyatakan rasa bangga dan teruja terutama bagi pihak unitnya.

“Ini merupakan salah satu kebanggaan kepada bahagian unit konservasi kerana dapat menjaga khazanah negara ini dengan baik dan sempurna supaya ia dapat dikekalkan dan dipertontonkan untuk khalayak ramai dan juga generasi yang akan datang.

Muhamad Faiz antara yang terlibat dalam kerja-kerja konservasi kedua-dua buah piala itu.

“Piala ini sebenarnya sangat penting dalam pembangunan sukan negara. Selepas Piala HMS Malaya (bola sepak) diserahkan kepada JMM pada tahun 1968, piala ini telah diperagakan sebanyak dua kali sahaja.

“Manakala Piala HMS Malaya (ragbi) baru sekali dipertontonkan kepada umum sejak diserahkan pada tahun 1983,” tambahnya.