Ringkasan AI
- Pertubuhan Sewaan Kediaman Kebangsaan menggesa KPKT serta PBT negeri mencipta undang-undang khusus bagi menangani isu penyewaan rumah Program Perumahan Rakyat (PPR).
- Cadangan ini diperkuatkan oleh fakta bahawa beberapa PPR diisi oleh warga asing.
- Tiada undang-undang khusus yang dibuat sehingga kini, menurut Pengerusi Pertubuhan Sewaan Kediaman Kebangsaan.
Pengerusinya Prakash P. Kalivanan berkata KPKT pernah mencadangkan agar Akta Sewaan Kediaman digubal bagi mengawal selia aktiviti sewaan kediaman, namun sehingga kini tiada sebarang perkembangan mengenainya.
Beliau berkata tindakan tegas perlu diambil kerana hasil maklumat mendapati ada PPR dibanjiri oleh kehadiran warga asing berikutan kegagalan majikan tempatan menyediakan asrama atau penginapan kepada golongan itu.
"Baru-baru ini kita mengadakan perbincangan dengan beberapa penghuni PPR dan mendapati Pangsapuri Teratak Muhibbah, Taman Desa di ibu kota - 60 peratus yang menetap di kawasan itu adalah warga asing yang membayar sewa rumah RM600 sebulan dihuni oleh lima hingga lapan orang serumah.
"Rumah PPR adalah untuk warga tempatan yang tidak berkemampuan, tetapi disebabkan majikan tidak menyediakan asrama atau tempat tinggal kepada pekerja warga asing, mereka terpaksa menyewa rumah PPR dengan membayar kadar sewa tinggi," katanya kepada Bernama.
Selain itu Prakash berkata setakat ini tiada pemilik mahupun penyewa dituduh di mahkamah berhubung kesalahan berkaitan penyewaan rumah PPR.
Beliau berlkata warga asing dilihat 'bermaharajalela' di negara ini dengan menetap di rumah PPR sedangkan warga tempatan menunggu giliran terlalu lama bagi mendapatkan rumah PPR.
"Kita sering kali mendengar pihak berkuasa mahu membatalkan perjanjian asal yang dimeterai antara penyewa asal dengan kerajaan, tetapi kita tidak tahu setakat ini berapa banyak perjanjian yang telah dibatalkan," katanya.
Prakash yang menyambut baik hasrat KPKT untuk mengambil tindakan tegas terhadap pemilik rumah PPR yang menyewakan kediaman mereka kepada warga asing berkata, tindakan undang-undang yang akan dikenakan itu perlu menjadi pengajaran kepada yang lain.
-- BERNAMA