Menterinya, Nga Kor Ming berkata, antara cadangan hukuman adalah melarang pemaju yang terlibat isu penipuan daripada keluar negara.
Tegasnya, nama mereka akan terus disenarai hitamkan sekali gus boleh mengelakkan pemaju berkenaan melarikan diri ke negara lain.
“Selain daripada itu, antara cadangan pindaan adalah duit yang dibayar oleh pembeli rumah kepada pemaju, kementerian akan mewujudkan satu akaun ketiga.
“Maksudnya, semua duit yang dibayar oleh pembeli, duit itu hanya boleh digunakan untuk projek itu sahaja.
“Sekarang, tanpa akaun ketiga itu, pemaju boleh pusing balik, gunakan duit projek A tetapi pakai di projek B. Akhirnya, projek A sakit, terbengkalai,” katanya.
Menurutnya, selepas pindaan tersebut lulus, semua isu tersebut tidak akan berlaku lagi dan pada masa sama, ia juga menjaga imej sektor perumahan di Malaysia.
Jelasnya, dalam sektor hartanah, Malaysia sudah memenangi 33 pingat emas dalam pelbagai anugerah bertaraf dunia dan imej tersebut harus dikekalkan selain tidak tercemar dengan masalah daripada segelintir pemaju.
Dalam pada itu, Kor Ming juga memaklumkan KPKT kini sedang berusaha gigih untuk memperkenalkan Program Residensi Rakyat (PRR), insiatif baharu yang menambah baik segala aspek Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Menurutnya, sudah sampai masanya PPR direjuvenasikan dan perancangan yang akan dibina berpandukan kepada beberapa projek seumpama itu seperti di Jepun dan Singapura.
Tegasnya, KPKT akan memastikan projek itu memenuhi lima elemen utama iaitu accessibility, mobility, sustainability, livability dan connectivity.
“Semua ini adalah aspek yang akan kita bangunkan yang mana sekarang kita ada dasar baharu seperti mana pengumuman saya dalam Parlimen. Mana-mana kerajaan negeri yang mahu buat PRR wajib menyerahkan serta menyumbangkan tanah.
“Saya sangat bersyukur, hari ini kita telah menerima 33 keping tanah percuma dari semua kerajaan negeri yang berminat untuk membangungkan PRR di negeri masing-masing.
“Bila kita dapat tanah percuma, maka kos tanah kosong, maka kita boleh pakai peruntukan dengan optimum, membina rumah berkualiti tinggi, bertenaga hijau, siap dengan pelbagai kelengkapan dan prasarana,” katanya.
Jelasnya, sebelum ini, Kerajaan Persekutuan terpaksa membeli tanah bagi program PPR, menjadikan 30 peratus daripada kos projek tersebut adalah pada tanah sahaja.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Selasa.