PUTRAJAYA: Beberapa pindaan mungkin dilakukan terhadap undang-undang sedia ada bagi menyelesaikan isu Program Latihan Ijazah Kepakaran atau Parallel Pathway.


Ringkasan AI
  • Pindaan undangundang mungkin dilakukan untuk menyelesaikan isu Program Latihan Ijazah Kepakaran (Parallel Pathway) yang melibatkan pertindihan antara MQA dan MMC.
  • Menteri Pendidikan Tinggi dan Pejabat Peguam Negara telah memberikan maklum balas dan pandangan mengenai aspek perundangan isu ini.
  • Perincian mengenai akta berkaitan akan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan untuk mencari penyelesaian segera.


Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata perkara itu dimaklumkan kepada barisan Kabinet hari ini.

Katanya, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir telah memberikan maklum balas mengenainya dan Pejabat Peguam Negara turut memberi pandangan dari segi aspek perundangan .

"Parallel Pathway merujuk kepada isu yang melibatkan pertindihan antara Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

"Jemaah Menteri telah dimaklumkan bahawa perlu sedikit pindaan kepada undang-undang sedia ada dan ini akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.

Fahmi dalam pada itu berkata, perincian mengenai akta berkaitan akan dibincangkan minggu depan.

Isu Parallel Pathway, menjadi tumpuan apabila Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) meminta Universiti Teknologi MARA (UiTM) membenarkan kemasukan pegawai perubatan bukan Bumiputera yang ingin mendapatkan latihan khusus bidang kardiotoraks, sama seperti institusi itu menerima pelajar antarabangsa.

Ia selepas Majlis Perubatan Malaysia (MMC) menolak permohonan empat pakar bedah kardiotoraks untuk disenaraikan dalam Daftar Pakar Kebangsaan, ekoran Fellowship of Royal College of Surgeons of Edinburgh in Cardiothoracic Surgery (FRCS Ed) yang diperoleh mereka, tidak diiktiraf.

Untuk rekod, UiTM merupakan satu-satunya universiti yang menawarkan program Parallel Pathway dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN) dalam bidang kardiotoraks.

Pada 27 Mei lepas Zambry dilaporkan berkata isu Parallel Pathway akan diselesaikan dengan kadar segera dan satu rangka cadangan penyelesaian telah dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk diteliti.

Menurut Zambry, perbincangan dengan Kementerian Kesihatan telah diadakan baru-baru ini bagi mencari penyelesian melibatkan aspek perundangan selain isu berkaitan pengiktirafan terhadap program perubatan yang ditawarkan di universiti.