KUALA LUMPUR : Satu sidang media secara bersama antara Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Isamil Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah akan berlangsung petang ini.

Kemunculan dua personaliti ini pada pukul 5 petang tentu sekali akan menjadi tumpuan rakyat kerana dijangkakan perincian berhubung prosedur operasi standard (SOP) dan sekatan lebih ketat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang sedang berkuat kuasa akan dijelaskan.

Ketika ini, negara sedang berdepan lonjakan kes COVID-19 yang kini hampir setiap hari merekodkan jumlah melebihi 6,000 kes baharu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat memaklumkan, Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN): Pengurusan COVID-19 bersetuju untuk mengetatkan lagi pelaksanaan PKP3.0 termasuk SOP yang lebih ketat terhadap sektor ekonomi serta sosial.

Menurut agensi berita BERNAMA menerusi media sosialnya, sidang media Ismail Sabri dan Dr Noor Hisham akan disiarkan secara langsung melaui Astro 502, myFreeview 121, unifi TV 631, LIVE FB dan Youtube Bernama TV.