Institut Integriti Malaysia (Integriti) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU), antara lain membolehkan kedua-dua pihak menerokai peluang memperkenalkan modul pengajian integriti dan governans dalam talian.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Integriti, Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata ia sebahagian daripada usaha bagi menyokong agenda pemupukan budaya berintegriti dan melahirkan rakyat Malaysia yang berintegriti tinggi.

"Perkara ini sedang diteliti oleh Integriti dan pengurusan UMP di mana kami sedang mencari pendekatan terbaharu, yang bersifat kontemporari bagi mendukung usaha memupuk nilai-nilai integriti," kata beliau selepas majlis menandatangani MoU yang berlangsung di kampus UMP di sini.

Usaha itu akan dilaksanakan menerusi kerjasama dengan Pusat Governans dan Integriti (GIC), Fakulti Pengurusan Industri, UMP.

Bagi pihak Integriti, MoU ditandatangani oleh Ahmad Fadzli manakala UMP diwakili oleh Naib Canselornya, Prof Datuk Seri Dr Daing Nasir Ibrahim.

Ahmad Fadzli menyifatkan majlis hari ini sebagai langkah penting ke arah memperkukuh usaha pemupukan dan pembudayaan nilai-nilai integriti.

Di bawah MoU itu, kata beliau, kedua-dua Integriti dan UMP akan menjalankan penyelidikan bersama dalam mewujudkan organisasi berintegriti yang bebas dari segala bentuk rasuah dan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan secara berterusan yang boleh menjejaskan imej Kerajaan Malaysia, mengancam kesejahteraan masyarakat dan negara, melunturkan nilai-nilai integriti, menghalang perkembangan dan pembangunan sosial, ekonomi serta politik negara.

Integriti dan UMP juga akan mewujudkan persefahaman dan berkongsi pengalaman dalam aspek khidmat rundingan, latihan, pendidikan serta usaha-usaha peningkatan amalan etika dan integriti dengan berlandaskan undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa di Malaysia, katanya.

"Selain itu, MoU ini akan membolehkan Integriti dan UMP mewujudkan persefahaman serta bersepakat untuk bekerjasama dalam menyemai dan membudayakan integriti sebagai amalan hidup dalam kalangan pegawai pentadbir, staf akademik, para pelajar dan pihak-pihak berkepentingan UMP," kata Ahmad Fadzli.

"Ini juga selari dengan output Integriti iaitu menggerakkan masyarakat pelbagai peringkat dalam memupuk nilai-nilai integriti," kata Ahmad Fadzli.

Kerjasama menerusi MoU ini akan membolehkan kedua-dua Integriti dan UMP bersepakat dan bekerjasama dalam menganjurkan bengkel, seminar, kolokium dan seumpamanya berkaitan integriti dan tadbir urus; membangunkan modul kursus berkaitan etika, integriti dan tadbir urus dan mewujudkan kerjasama bestari dalam melaksanakan kursus integriti kepada pegawai pentadbir, staf akademik, para pelajar dan pihak-pihak berkepentingan UMP.

UMP dengan kerjasama Integriti akan menganjurkan satu persidangan berkaitan integriti dan tadbir urus awal tahun depan, katanya.

Dalam pada itu, Daing Nasir menyifatkan kerjasama UMP dan Integriti ini sebagai langkah signifikan dalam melahirkan persekitaran kukuh nilai-nilai integriti.

"UMP sejak penubuhan menekankan nilai-nilai teras bagi melahirkan masyarakat yang bertinggi tinggi dan berdaya tahan. Justeru, majlis hari ini sesuatu yang signifikan ke arah itu," kata beliau.