KUALA LUMPUR: Laporan pertama berhubung penubuhan Suruhanjaya Gig Malaysia akan dibentangkan pada mesyuarat Kabinet pada Rabu.


Ringkasan AI
  • Nota pertama berhubung penubuhan Suruhanjaya Gig Malaysia akan dibentangkan pada mesyuarat Kabinet pada Rabu.
  • Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, pembentangan itu membabitkan laporan interim, bertujuan bagi memperoleh kelulusan daripada Jemaah Menteri.
  • Ia kemudian akan diperincikan berpandukan maklum balas Kabinet dan kemudian dijangka lengkap sepenuhnya pada Ogos nanti.


Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, pembentangan itu membabitkan laporan interim, bertujuan bagi memperoleh kelulusan daripada Jemaah Menteri.

Menurutnya, ia kemudian akan diperincikan berpandukan maklum balas Kabinet dan kemudian dijangka lengkap sepenuhnya pada Ogos nanti.

“Selepas ini, selepas kita mendapatkan input, mungkin ada input tambahan daripada Jemaah Menteri, maka kita akan buat perincian lanjut dan kertas tersebut dijangka siap pada bulan Ogos.

“Jadi, selepas esok kita akan dapatkan maklum balas daripada Kabinet terhadap apa yang kita ada, buat masa ini.

“Daripada maklum balas itu, kita akan membuat perincian secara lanjut, menjurus ke arah selesainya penubuhan kertas ini pada Ogos.

“Kita harap selepas itu kita boleh bentangkan, menjalankan langkah-langkah seterusnya bagi penubuhan suruhanjaya itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Tajaan Caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dan Pertukaran MoU Antara KESUMA dan Perkeso Bersama Grab Malaysia di Kuala Lumpur pada Selasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mac lalu mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig itu bagi melindungi hak 1.12 juta pekerja gig.

Tumpuannya adalah untuk memenuhi keperluan sosial, menyelesaikan pertikaian kontrak dan mendorong kemajuan kerjaya golongan berkenaan.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan akan membentangkan rang undang-undang berkaitan suruhanjaya itu di Parlimen pada Julai ini.

Beliau berkata kerajaan mengambil langkah membentangkan rang undang-undang berkenaan, selepas mendapat usul daripada golongan belia sebelum ini.

Dalam perkembangan lain, Steven Sim berkata, Grab Malaysia telah memohon pampasan insurans daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk pemandu orang kurang upaya (OKU) yang didakwa diserang baru-baru ini.

Menurutnya, permohonan itu telah dihantar pada Selasa pagi dan biasanya proses sebegitu tidak akan mengambil masa yang lama.

“Permohonan baru dihantar pagi tadi. Permohonan seperti ini biasanya tidak mengambil masa yang lama.

“Perkeso akan memproses permohonan ini dalam beberapa hari akan datang,” katanya.