Ringkasan AI
- Kerajaan mengingatkan majikan supaya tidak menjadikan kadar gaji minimum baharu RM1,700 sebagai gaji permulaan untuk semua pekerja, termasuk siswazah.
- Kadar ini adalah untuk pekerja asas dengan kelayakan akademik dan kemahiran rendah.
- Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, menegaskan bahawa majikan perlu mematuhi arahan penyelarasan gaji dan memberi gaji setimpal berdasarkan kemahiran dan kelulusan akademik pekerja untuk mengelakkan aliran keluar bakat.
Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 Jumaat lepas, merupakan gaji untuk pekerja asas dengan kelayakan akademik dan kemahiran rendah termasuk pekerja sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar).
"Jadi kita sarankan supaya (pekerja) diberikan gaji setimpal berdasarkan kemahiran atau kelulusan akademik yang ada. Jangan jadikan gaji minimum sebagai penanda aras kepada gaji permulaan kepada semua pekerja... Ini (penyelarasan gaji minimum) adalah strategi untuk pekerja paling asas iaitu 4.35 juta pekerja yang masih mendapat gaji di bawah RM1,700.
"Saranan pemberian gaji selaras dengan kelayakan akademik, peranan kerja dan kemahiran ini adalah untuk kebaikan syarikat juga sebab kalau tak diberi gaji setimpal, akan berlaku kes seperti aliran keluar bakat kita dan sebagainya. Kita (majikan) juga tidak dapat bakat dan tenaga kerja yang baik," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Wilayah Timur di Merang, di sini, hari ini.
Pada pembentangan Belanjawan 2025 Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan mengumumkan kadar gaji minimum dinaikkan daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan berkuat kuasa 1 Feb depan, dan 1 Ogos 2025 kepada majikan atau usahawan kecil yang mempunyai lima orang pekerja ke bawah.
Sim juga berkata tempoh penyelarasan gaji yang diberikan itu adalah munasabah dan mencukupi serta majikan diingatkan supaya mematuhi arahan yang ditetapkan.
Beliau juga menggesa mana-mana pihak terutama pekerja yang mengetahui terdapat pelanggaran undang-undang berkaitan perburuhan termasuk gaji minimum supaya melaporkan kepada Kementerian Sumber Manusia terutama Jabatan Tenaga Kerja supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.
Kenaikan kadar gaji minimum, katanya bukan mahu membebankan golongan majikan namun ia antara lain memberikan pekerja kuasa membeli yang lebih tinggi seterusnya secara tidak langsung membawa limpahan ekonomi kepada usahawan dan syarikat kecil setempat.
Mengenai Pusat Rehabilitasi Perkeso Wilayah Timur yang dijangka siap pada 2027, beliau berkata ia selaras dengan aspirasi 3K kementerian itu yang merangkumi pengukuhan kebajikan pekerja; peningkatan kemahiran dan keberhasilan kerja.
Pusat rehabilitasi melibatkan kos pembinaan RM571.8 juta itu mampu memuatkan 315 katil bagi menampung 400 hingga 500 pesakit setiap hari dengan antara perkhidmatan rawatan ditawarkan ialah rehabilitasi perubatan meliputi Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics dan rawatan terapi inovatif seperti Thalassotheraphy iaitu terapi menggunakan elemen air laut.
"Rawatan berasaskan kaedah hippotheraphy yang menggunakan kuda sebagai instrumen untuk membantu pemulihan fizikal, mental dan kognitif pesakit juga disediakan," katanya.
Sim berkata pengwujudan pusat rehabilitasi ketiga selepas Melaka dan Perak itu juga bertepatan memandangkan berdasarkan rekod, 15 hingga 20 peratus jumlah kes diterima di pusat rehabilitasi sedia ada ketika ini adalah dari Zon Pantai Timur.
-- BERNAMA