PUTRAJAYA: Malaysia dan China membuat pertukaran sebanyak 14 memorandum persefahaman (MoU) dan persetujuan melibatkan sembilan kementerian yang berlangsung di sini hari ini.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Perdana Menteri China, Li Qiang, menyaksikan pertukaran 14 MoU yang melibatkan kerjasama dalam ekonomi digital, pencegahan jenayah transnasional, media, budaya, dan perdagangan merentas sempadan.
  • Pertemuan ini adalah sebahagian daripada lawatan kerja Li ke Malaysia yang juga menandakan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara kedua negara.
  • China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia dengan jumlah dagangan RM450.84 bilion pada tahun 2023.


Ia disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya, Li Qiang sempena lawatan kerja Perdana Menteri China ke Malaysia selama tiga hari yang bermula semalam.

Memorandum dan persetujuan itu melibatkan pelbagai bidang kerjasama termasuk ekonomi digital, pembangunan hijau, serta pelancongan.

Antaranya membabitkan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pentadbiran Am Kastam China melibatkan Kenyataan Bersama mengenai Tetingkap Tunggal Kebangsaan untuk Inisiatif Perdagangan Rentas Sempadan bertujuan memastikan pergerakan barangan yang cepat dan lancar antara kedua-dua negara.

Dalam majlis sama, lapan lagi kementerian terlibat adalah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi iaitu Kitaran Kedua Lima Tahun Program Ekonomi Dan Perdagangan Kerjasama (2024-2028) serta Kementerian Dalam Negeri (KDN) membabitkan Perjanjian Kerjasama Dalam Mencegah Dan Membanteras Jenayah Transnasional.

Selain itu, turut terlibat ialah Kementerian Komunikasi (MoU antara Kumpulan Media China mengenai Kerjasama dalam Bidang Media); Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) membabitkan Program Eksekutif Pelaksanaan Perjanjian Kerjasama Budaya.

Empat lagi kementerian adalah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT); Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM); Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI); serta Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Hadir sama pada majlis pertukaran MoU dan persetujuan itu ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menteri Kabinet, diplomat asing dan pegawai kanan kerajaan.

Terdahulu, Anwar dan Li mengadakan mesyuarat tertutup hampir dua jam bagi membincangkan hal berkaitan hubungan dua hala antara Malaysia dan China serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang melibatkan kepentingan bersama.

Li yang menjawat jawatan tersebut pada Mac tahun lalu ketika ini dalam rangka kerja sulungnya ke Malaysia sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Pada petang ini, Perdana Menteri China itu dijangka menghadiri majlis pecah tanah Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Gombak.

Selain itu, kedua-dua pemimpin akan menghadiri majlis makan malam bagi menyambut ulang tahun ke-50 hubungan dua hala Malaysia-China.

Dalam rangka kerja berkenaan, Li turut dijadual mengadakan kunjungan bagi menghadap Seri Paduka Baginda, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Pada 2023, China kekal sebagai rakan perdagangan Malaysia terbesar bagi 15 tahun berturut-turut sejak 2009, dengan jumlah dagangan sebanyak RM450.84 bilion (AS$98.90 bilion).