KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti kesan daripada pelbagai langkah yang diambil berkaitan subsidi sebelum membuat keputusan mengenai keperluan rasionalisasi subsidi petrol RON95, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Ringkasan AI
  • Rasionalisasi Subsidi RON95: Kerajaan sedang meneliti keperluan untuk melaksanakan rasionalisasi subsidi kepada petrol RON95. Langkah ini bertujuan untuk mengukuhkan kemampanan fiskal negara dan mengurangkan ketirisan dalam pengagihan subsidi.
  • Kajian dan Reaksi Rakyat: Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa tiada kertas dasar mengenai rasionalisasi subsidi bahan api RON95. Kerajaan akan menilai kesan langkah-langkah yang telah diambil sebelum membuat keputusan. Kajian melibatkan langkah-langkah seperti kadar tarif elektrik, harga ayam, dan penyasaran subsidi diesel.
  • Langkah-Langkah Sebelum Ini: Kerajaan telah memperkenalkan beberapa langkah sejak tahun lepas, termasuk kawalan harga ayam yang ditamatkan sepenuhnya bermula 1 November 2023 dan penyasaran subsidi diesel bermula 10 Jun lepas. Selain itu, tiada kenaikan tarif elektrik bagi semua pengguna elektrik di Semenanjung mulai 1 Julai hingga 31 Disember.


Beliau berkata setakat ini, tiada kertas dasar mengenai rasionalisasi subsidi bahan api RON95.

"Ada kajian dulu tetapi kita fikir lebih baik kita lihat dulu langkah-langkah yang diambil pada (kadar tarif) elektrik, (harga) ayam dan penyasaran subsidi diesel yang kita buat pada tahun ini dan tahun lepas.

"Kita lihat kesannya dahulu dan reaksi rakyat. Kemudian, barulah kita bersedia untuk berunding (mengenai) apakah keperluannya," kata beliau pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Tidak tolak rasionalisasi subsidi RON95 tetapi bukan sekarang – PM


Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai keputusan kerajaan sama ada akan melaksanakan penyasaran bersasar bagi subsidi petrol RON95.

Anwar menegaskan penyasaran subsidi disifatkan wajar untuk menangani isu salah guna dan kecurian bahan api membabitkan warga asing sehingga mendatangkan kerugian yang besar kepada negara.

Kerajaan telah memperkenalkan beberapa langkah sejak tahun lepas termasuk kawalan harga ayam yang ditamatkan sepenuhnya bermula 1 Nov 2023 dan penyasaran subsidi diesel bermula 10 Jun lepas.

Selain itu, kerajaan turut mengumumkan tiada kenaikan tarif elektrik kepada semua pengguna elektrik di Semenanjung mulai 1 Julai hingga 31 Dis ini.

-- BERNAMA