Penganalisis RHB IB, Alexander Chia berkata selepas hampir dua tahun sejak pilihan raya umum ke-15 diadakan, kestabilan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat teguh.
"Kami yakin kerajaan akan melakar kemajuan yang lebih bermakna dalam subsidi dan inisiatif untuk meluaskan asas cukai bagi mengurangkan lagi defisit fiskal, mewujudkan ruang utama untuk pelaburan infrastruktur, dan menghasilkan peluang untuk mengawal hutang negara.
"Dalam aspek ini, dua inisiatif utama yang masih belum diputuskan adalah rasionalisasi subsidi untuk petrol RON95 dan pengenalan semula GST yang bersesuaian dengan pelaksanaan penuh e-invois," katanya menerusi nota hari ini.
Bank pelaburan itu menjangkakan rasionalisasi subsidi RON95 akan dilaksanakan menjelang akhir 2024.
Secara keseluruhannya, RHB IB menjangkakan Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada 18 Oktober ini akan meliputi antaranya fiskal berhemat, tumpuan kepada segmen berpendapatan rendah, komitmen kepada pembaharuan dan inisiatif yang lebih jelas untuk meluaskan asas cukai.
Sehubungan itu, RHB IB mengunjurkan sasaran defisit fiskal bagi 2025 pada 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar, lebih rendah daripada sasaran pada 2024 iaitu 4.3 peratus.
Mengenai cukai barang bernilai tinggi (HVGT), RHB IB berkata terdapat "kemungkinan" untuk ia dinyatakan dalam Belanjawan 2025.
Bagaimanapun, kaedah cukai yang akan dilaksanakan masih belum dapat dilihat terutama kadar cukai, jenis barangan yang akan dikenakan cukai dan ambang nilai yang ditetapkan.
-- BERNAMA