KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia tidak boleh kehilangan identiti dan semangat budaya dalam usaha ke arah pembangunan.


Ringkasan AI
  • Identiti Budaya: Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan bahawa Malaysia tidak boleh kehilangan identiti dan semangat budaya dalam usaha pembangunan. Ini termasuk mempertimbangkan kepelbagaian etnik dan budaya di negara ini, termasuk Orang Asli, Melayu, Cina, dan India, serta campuran budaya yang menarik di Sabah dan Sarawak.
  • Perancangan Seni Bina: Dalam industri pembinaan dan reka bentuk, penting bagi pemaju, arkitek, dan perancang bandar untuk memastikan bahawa pembangunan berjalan dengan memperhatikan aspek budaya, moden, dan teknologi. Pembangunan harus mesra alam dan mengambil kira keperluan semua sektor.
  • Pameran ARCHIDEX 2024: Pameran Seni Bina, Reka Bentuk Dalaman, dan Bangunan Antarabangsa (ARCHIDEX) 2024 merupakan platform untuk industri berkumpul dan mengeksplorasi tema seperti teknologi audiovisual, Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM), dan Sistem Binaan Berindustri (IBS). Anwar juga menyoroti keunikan seni bina di Malaysia.


Perdana Menteri menjelaskan adalah sesuatu yang memalukan jika negara tidak mengambil kira perkara itu dalam melibatkan industri pembinaan, reka bentuk serta bidang lain yang berkaitan.

Justeru, beliau menjelaskan selain aspek kecanggihan teknologi, pembangunan tidak boleh menyisihkan keperluan masyarakat dan ia perlu mempunyai rangka serta dasar yang jelas.

"Dalam konteks Malaysia, ada Orang Asli, Melayu, Cina atau India, yang merupakan sebahagian daripada masyarakat di negara ini. Jika anda melihat lebih jauh ke Sabah dan Sarawak... melihat campuran budaya yang menarik ini daripada Dayak kepada Kadazan, Murut dan lain-lain.

"Ia menjadi sesuatu yang memalukan jika kita tidak mempertimbangkan ciri-ciri tersebut dalam perancangan atau pembinaan (seni bina). Oleh itu, penting bagi para pemaju, arkitek, perancang bandar dan pembuat dasar untuk memastikan bahawa ia berbudaya,  moden dan berteknologi canggih tetapi mesra alam dan mengambil kira keperluan semua sektor supaya anda tidak mengulangi atau melebihkan kedua-dua bandar," katanya di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pameran Seni Bina, Reka Bentuk Dalaman dan Bangunan Antarabangsa (ARCHIDEX) 2024 di ibu negara, yang turut dihadiri Menteri  Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

[TERKINI] Majlis Pembukaan Rasmi Archidex 2024


ARCHIDEX 2024 yang berlangsung mulai 3 hingga 6 Jun ini melibatkan sekitar 700 pempamer tempatan dan antarabangsa merentasi lebih 1,500 reruai pameran, serta 40,000 pelawat dari lebih 100 negara.

ARCHIDEX menawarkan pelbagai tema pameran yang disesuaikan dengan keperluan industri, termasuk teknologi audiovisual dan pencahayaan, Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) dan Sistem Binaan Berindustri (IBS).

Berucap lanjut, Perdana Menteri berkata kebanyakan arkitek di negara ini dilatih di Barat tetapi mereka tidak lupa dalam menampilkan keunikan di Malaysia dalam seni bina.

Dalam masa sama, Anwar menambah ASEAN sedang giat berusaha mempromosikan rantau ini sebagai rantau yang cemerlang dari segi ekonomi dan budaya.