KUALA LUMPUR: Institusi Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu sensitif dengan keperluan semasa pekerja oleh industri.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Ibrahim Sani berkata, ini bagi memastikan setiap bakat yang dilahirkan menerusi latihan yang disediakan mendapat penempatan kerja dan tidak berlaku lebihan sumber bakat.

“Kalau kita berjaya latih 5,000 jurudandang pada tahun ini dan ditempatkan dipenjawatan sewajarnya. Persoalannya, apabila kita terus melatih jurudandang baharu, adakah jurudandang baharu ini akan dapat penempatan kerja?

“Jawapannya, tidak. Bahkan, ini yang berlaku sekarang. Mereka yang dilatih dalam Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) mungkin tidak dapat mencari penempatan yang sewajarnya sejurus selepas melengkapkan pelajaran mereka.

“Oleh itu, kita perlu sangat sensitif dengan apa yang diperlukan oleh pasaran ketika ini dari semua peringkat; mahir dan separa mahir,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.


Institusi TVET perlu sensitif dengan keperluan industri, jamin penempatan kerja - Yayasan Peneraju

Jelasnya, keperluan industri kepada bakat berkemahiran adalah tidak tetap pada satu-satu masa. Sebaliknya, akan berlaku naik-turun dari segi permintaan, yang bergantung kepada faktor saiz syarikat, perkembangan industri dan kemajuan teknologi.

Oleh yang demikian, beliau memberi penekanan kepada keperluan untuk memastikan latihan kemahiran dipertingkatkan atau dikemaskini secara berterusan untuk memastikan bakat yang disediakan boleh memenuhi keperluan industri seiring perubahan pasaran.


Agenda AWANI: ANDALAN 2024 | Pembangunan bakat bumiputera