KUALA LUMPUR: Modul Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR) bakal dijadikan sebagai mata pelajaran wajib di semua Institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) seluruh negara.


Ringkasan AI
  • Modul Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR) bakal dijadikan sebagai mata pelajaran wajib di semua Institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) seluruh negara.
  • Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Seri Norazlan Mohd Razali berkata, persetujuan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (MTVET) Bil 2/2024 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Mei lepas.
  • Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Norazlan berkata, melalui perjanjian tersebut, SPRM akan menyediakan tenaga pengajar Training of Trainers (TOT), dan pensyarah bagi modul-modul teknikal yang berkaitan dengan Akta SPRM 2009.


Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Seri Norazlan Mohd Razali berkata, persetujuan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (MTVET) Bil 2/2024 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Mei lepas.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Norazlan berkata, melalui perjanjian tersebut, SPRM akan menyediakan tenaga pengajar Training of Trainers (TOT), dan pensyarah bagi modul-modul teknikal yang berkaitan dengan Akta SPRM 2009.

“SPRM peka dengan hasrat kerajaan untuk memperkasakan bidang TVET selari dengan keperluan revolusi industri 4.0 di mana banyak pertambahan peluang latihan dibuka kepada para pelajar.

“Oleh itu modul KIAR ini dijadikan sebagai sebahagian daripada pendidikan TVET sedia ada sebagai satu usaha berterusan untuk melahirkan tenaga kerja dan usahawan yang tidak berkompromi terhadap sebarang perlakuan rasuah dalam urusan perniagaan,” katanya lagi.

Beliau berkata, langkah itu direka bagi memastikan industri yang didokong oleh TVET, terutamanya industri kecil dan sederhana (IKS) tidak tercemar serta bebas dengan isu rasuah.

Dalam pada itu Norazlan berkata, inisiatif tersebut bukan sahaja selari dengan Strategi B8 Dasar TVET Negara 2030 menerusi inisiatif B8.1 iaitu peningkatan kemahiran insaniah dan nilai sosial termasuk elemen integriti dan antirasuah, tetapi juga adalah sejajar dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028.

Beliau berkata, Strategi 1 Substrategi 7 telah menggariskan pelaksanaan modul atau Kursus Integriti dan Antirasuah kepada pelatih TVET di institusi TVET.

Sejak 2021, Norazlan berkata, SPRM telah melaksanakan pembelajaran KIAR ini bersama dengan Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) Negeri Sabah dan diikuti pula di Institut Latihan Perindustrian (ILP) di Kuala Lumpur dan Melaka di bawah Kementerian Sumber Manusia.

Pelaksanaan KIAR itu, tambahnya lagi, diteruskan di 22 Institusi Latihan di bawah Kementerian Belia dan Sukan (ILKBS).