KUALA LUMPUR: Inisiatif Harmoni Madani yang dijayakan sepanjang tahun 2024 telah meningkatkan kefahaman mengenai kepelbagaian agama, budaya dan adat resam bagi memperkukuhkan hubungan kebersamaan dan keharmonian.


Ringkasan AI
  • Pendedahan kepada Latar Belakang dan Ritual Pelbagai Rumah Ibadat: Inisiatif ini memberi peluang kepada orang awam untuk memahami latar belakang dan ritual di pelbagai rumah ibadat di Malaysia melalui program seperti Jejak Harmoni. Kerjasama Antara Pihak Berkuasa Agama: Program ini melibatkan kerjasama antara pihak berkuasa agama Islam dan pelbagai kumpulan agama di Malaysia untuk mempromosikan perpaduan dalam kepelbagaian. Pelaksanaan Lebih 300 Program Perpaduan: Sepanjang tahun 2024, Kementerian Perpaduan Negara telah melaksanakan lebih daripada 300 program yang berteraskan konsep kepelbagaian dalam bingkai kesatuan untuk mengeratkan perpaduan rakyat.


Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata inisiatif itu melibatkan kerjasama pihak berkuasa agama Islam dan pelbagai kumpulan agama di Malaysia. 

“Harmoni ialah asas kepada perpaduan. Di Malaysia kita gunakan konsep perpaduan dalam kepelbagaian. Kegiatan-kegiatan kita befokus kepada Inisiatif Harmoni Madani. 

“Kita telah adakan pelbagai program bersama Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) dan pelbagai kumpulan agama dalam negara. Satu program yang popular ialah Jejak Harmoni. Kita pergi ke rumah-rumah ibadat bersama pelbagai kumpulan penganut. Kita lihat kegiatan di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.

Tambah Aaron, sepanjang tahun 2024 Kementerian Perpaduan Negara telah menjayakan tidak kurang daripada 300 program bagi mengeratkan perpaduan dalam kalangan rakyat di seluruh negara. 

Jelasnya, program-program yang diterajui kementeriannya itu berteraskan kepada konsep kepelbagaian dalam bingkai kesatuan. 

"Bagi 2024 ini banyak program yang kita lakukan dan boleh dirangkumkan dalam lima pendekatan; pemerkasaan Rukun Tetangga, penghayatan Rukun Negara, penyuburan minat warisan budaya, membangunkan Malaysia sebagai hub kesukarelawanan dan meningkatkan keharmonian antara penganut agama,” ujarnya.