Beliau berkata seni perfileman adalah medium yang sangat berkuasa untuk menyampaikan mesej perpaduan dan kasih sayang selain mampu menjadi platform bagi mengingatkan semua pihak khususnya generasi muda tentang jati diri rakyat Malaysia.
"Kita berada di era di mana nilai-nilai murni dan rasa bangga terhadap sejarah serta perjuangan negara perlu sentiasa disemarakkan dan filem bertemakan kenegaraan memainkan peranan ini dengan menghidupkan semula kisah perjuangan, pengorbanan serta perpaduan yang membina negara kita.
"Ia adalah pelajaran sejarah yang disampaikan secara kreatif, menyentuh emosi dan merapatkan jurang antara generasi," katanya semasa berucap pada Perasmian Tayangan Filem KITA - Sabah Menyambut Kepelbagaian di Wisma Huazong, Seri Kembangan dekat sini semalam.
Aaron berkata penerbitan filem genre sedemikian juga sejajar dengan hasrat kerajaan yang komited memperkukuh hubungan antara kaum dan membina Malaysia yang harmoni.
Menyentuh penerbitan KITA - Sabah Menyambut Kepelbagaian, beliau berkata filem itu menggambarkan keunikan serta keindahan Sabah sebagai negeri yang menyatukan kepelbagaian budaya, agama dan bahasa di bawah satu bumbung.
"Filem ini adalah contoh bagaimana seni boleh menjadi jambatan yang menghubungkan kita semua. Saya percaya filem ini bukan sehaja menghiburkan tetapi juga mendidik kita tentang nilai perpaduan dan toleransi.
"Ia juga sebagai peringatan untuk kita, sebagai rakyat Malaysia perlu sentiasa menghormati perbezaan, mencari titik persamaan untuk maju sebagai Bangsa Malaysia dan terus menyemai semangat perpaduan dalam kehidupan seharian," katanya.
-- BERNAMA