KUALA LUMPUR: Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang memasuki hari ketiga hari ini menyaksikan tumpuan utama diberikan kepada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Dalam sesi penerangan Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjelaskan persoalan yang dibangkitkan mengenai isu perolehan bekalan vaksin dan kadar vaksinasi negara yang sedang dijalankan kini.

Namun begitu persoalan mengenai isu suntikan vaksin kosong yang dijangka dibangkitkan hari ini bagaimanapun tidak disuarakan oleh mana-mana ahli Parlimen. 

Berikut 10 perkara yang menjadi tumpuan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini:

1.  Bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik mencadangkan supaya seluruh warga pendidikan diberikan suntikan vaksin di sekolah masing-masing, tanpa perlu ke pusat pemberian vaksin (PPV).

2. Kerajaan digesa mempercepatkan penghantaran dan proses vaksinasi di negeri Sabah dan berhenti melayan warga negeri itu sebagai anak tiri , kata Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

3. Wakil pembangkang meminta Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mendedahkan senarai ahli Parlimen yang belum menerima suntikan vaksinasi dipercayai atas faktor kepercayaan agama.

4. Kenyataan mengatakan bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai majoriti untuk kekal mentadbir negara kembali panaskan sidang khas Dewan Rakyat.

5. Khairy Jamaluddin memberi jaminan bahawa segala perbelanjaan dan perjanjian yang dilaksanakan dalam perolehan vaksin dan pelaksanaan PICK akan terus dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

6. Khairy Jamaluddin mengakui jumlah pendaftaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) masih rendah dengan hanya  61.7 peratus daripada keseluruhan populasi negara mendaftar setakat 26 Julai.

7. Sebanyak empat kes positif COVID-19 dikesan di kawasan Parlimen dalam tempoh dua hari sejak Selasa.

8. Lim Guan Eng membangkitkan isu dana pembelian vaksin memandangkan Ordinan Darurat dibatalkan  berkuat kuasa 21 Julai lalu.

9. Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menggesa agar doktor-doktor kontrak yang terlibat dengan gerakan Hartal Doktor Kontrak tidak dilayan seperti penjenayah.

10. Sasaran 80 peratus penduduk yang menerima vaksin dijangka disingkatkan kepada Oktober 2021 setelah mengambil kira perkembangan semasa jangkitan.