"Ingat setiap kali pergi kerja ingat kerana Allah."
Itu pesan ibu salah seorang anggota bomba yang lemas ketika usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa lemas di lombong Taman Putra Perdana malam tadi.
Itu pesan ibu salah seorang anggota bomba yang lemas ketika usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa lemas di lombong Taman Putra Perdana malam tadi.
Sharifah Adzam Syed Mohamad berkata dia menerima panggilan dari menantunya memaklumkan anaknya Mohd Fatah Hashim, 34, hilang ketika operasi SAR dan sejurus selepas selesai sembayang hajat, panggilan kedua memberitahu mayat anak telah ditemui.
Sharifah memberitahu kali terakhir arwah anaknya menelefon ketika Hari Raya Haji yang lalu dan dalam perbualan itu arwah berkali-kali meminta maaf dan ampun dan berkirim salam kepada ahli keluarga yang lain dan Sharifah pula berpesan agar setiap-kali keluar bertugas, ingatlah bertugas kerana Allah.
LAPOR LANGSUNG: Bomba hero kami
BACA: 'Ustat' PASKAL kongsi posting terakhir anggota bomba sebelum terkorban
Walau bagaimanapun Sharifah pasrah pemergian anak kelima dari tujuh adik-beradik itu dan redha dengan kejadian yang menimpa.
Sementara itu jenazah Allahyarham Mohd Fatah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru Beserah, di sini pada jam 4 petang tadi.
Sebelum itu jenazah mangsa dibawa pulang dengan menaiki kenderaan JBPM, tiba jam 2.30 petang.
Jenazah Allahyarham terdahulu disembahyangkan di Masjid Jamek Beserah, yang dihadiri sanak saudara dan kenalan.
Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan apabila lebih 100 saudara mara dan rakan Allahyarham hadir bagi memberi penghormatan terakhir.
Turut hadir, Pengarah JBPM Pahang, Nor Hisham Mohamad, serta pegawai dan anggota JBPM Pahang.Allahyarham Mohd Fatah meninggalkan seorang balu, Noor Nadia Kamaludin 29, dan dua orang anak berusia tiga tahun dan satu tahun.
Allahyarham berkhidmat dalam Pasukan Penyelam Di Air (PPDA) sejak tujuh tahun lalu.
Keenam-enam yang terkorban terdiri daripada empat anggota Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang dikenali sebagai Mohd Fatah Hashim, 34 tahun; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32 tahun; Mazlan Omarbaki, 25 tahun, dan Yahya Ali, 24 tahun.
Dua lagi mangsa adalah dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam yang dikenal pasti sebagai Adnan Othman, 33 tahun, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25 tahun.