ABU DHABI: Industri berita dan media kini berada di titik peralihan kritikal untuk menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) bagi mewujudkan nilai tambah pada operasi mereka.

Profesor Kreativiti Digital di Fakulti Pengurusan di Bayes Business School London, Prof Neil Maiden berkata dalam bidang kewartawanan AI berkemungkinan meningkatkan pemikiran kreatif wartawan dalam penemuan sudut dan cerita di luar kelaziman.

"Walaupun organisasi-organasi berita telah bereksperimen dengan kes penggunaan mudah seperti penghasilan tajuk atau kandungan, adalah penting untuk menghasilkan kaedah-kaedah dan mencipta nilai untuk meningkatkan kualiti industri kewartawanan secara keseluruhan," katanya semasa perbincangan panel Kongres Media Global 2023 di Abu Dhabi National Exhibition Centre (ADNEC) di sini, pada Rabu.

Pada nota yang sama, Pengarah Strategi Digital dan Inovasi di Intentional Future Jessica Groopman berkata AI memberikan peluang kepada mereka untuk melihat cara-cara bagaimana industri itu boleh ditambah baik.

"Ia adalah representasi dalam pangkalan data. Ia mengenai kita serta pilihan manusia dan ilham kita. Apa yang kita pilih untuk melabur dalam AI ialah pembuktian nilai kita, keutamaan pelaburan kita, enjin ekonomi dan inisiatif kita.

"AI juga membezakan jenis tawaran nilai teknologi yang kita cipta, bagaimana kita mengimbangi nilai-nilai individu sebagai kolektif," tambahnya.

Selain itu, Groopman berkata teknologi AI bukan sahaja mengenai persepsi dan analisis, tetapi juga asas untuk membolehkan penciptaan dan kreativiti dalam setiap aspek kehidupan.

Beliau seterusnya menjelaskan bahawa AI telah wujud selama beberapa dekad dengan siri teknik dan alatan yang sentiasa berubah, tetapi ketuntasannya sentiasa mengenai meniru fungsi dan output kognitif.

"AI secara sejarahnya terbahagi kepada dua kategori yang berbeza. Satu bahagian utamanya adalah teks dan terjemahan seperti teks-kepada-ucapan dan semua cara pembacaan teks manakala bahagian kedua adalah mengenai persepsi dan deria seperti pengecaman wajah dan kereta pandu sendiri

"(Tetapi) bahagian ketiga berkisar pada pengecaman atau analisis corak. AI generatif adalah kelas dan kemajuan terkini dalam teknologi dan perkakas di bawah payung AI yang satu perempat bahagiannya adalah berkenaan penciptaan.

"Alat baharu ini membolehkan penciptaan media, kelas dan idea, penciptaan pelbagai reka bentuk berbeza merentas industri daripada pembuatan dan reka bentuk produk kepada farmaseutikal dan reka bentuk ubat," tambahnya.

Edisi kedua Kongres Media Global tahun ini, mengumpulkan pelbagai kakitangan media, syarikat, jenama dan pelajar dari 172 negara, menawarkan peluang kepada kakitangan media dan pemegang taruh untuk mengetengahkan isu-isu yang bermanfaat dalam industri media.

Agenda acara tiga hari bermula Selasa, termasuk persidangan bertemakan kelestarian; inovasi dan teknologi dalam media; belia, pendidikan dan masa depan media, meja bulat media dan bengkel.

-- BERNAMA