Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata respons daripada pihak industri itu berasaskan alasan untuk menjaga kepentingan pekebun kecil.
"Dari semasa ke semasa kita cuba menyelesaikan perkara ini menerusi libat urus bersama pihak industri dengan (cadangan) penentuan harga dua peringkat, tetapi nampaknya pihak industri agak keberatan kerana mereka menjaga (kepentingan) pekebun kecil," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) mengenai kesediaan kerajaan untuk menambah kuota bekalan minyak masak pek bersubsidi di pasaran runcit tempatan agar bekalannya mencukupi.
Sebelum ini, terdapat cadangan berhubung kebolehlaksanaan penetapan harga melalui sistem dua peringkat bagi minyak masak kegunaan domestik dan eksport, memandangkan produk tersebut ketika ini ditentukan dengan sistem satu harga.
Menjawab soalan tambahan Cha berhubung tindakan penguatkuasaan terhadap isu ketirisan serta sama ada negara berdepan krisis bekalan komoditi itu, Salahuddin berkata setakat ini, situasi bekalan minyak masak pek bersubsidi belum sampai ke tahap krisis.
"Jika ada kes (kekurangan bekalan) berlaku di satu-satu tempat pada satu-satu masa, KPDN akan segera bertindak," katanya.
Selain itu, beliau berkata pihaknya tidak akan berkompromi dalam aspek ketirisan dengan sebanyak 2,896 pemeriksaan dilaksanakan sepanjang dua bulan lepas tahun ini dan 13 kes telah didakwa di mahkamah.
-- BERNAMA